Jumaat, 29 November 2019 | 10:09pm
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba.
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba.

Pogba akan jadi seperti pemain baru United - Solskjaer

LONDON: Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan kepulangan semula Paul Pogba daripada kecederaan bulan depan akan menjadikannya seperti pembelian baharu kelab itu.

Pogba bergelut dengan kecederaan buku lali dan tidak bermain sejak United seri 1-1 dengan Arsenal di Old Trafford pada penghujung September lalu.

Solskjaer berkata pemain berusia 26 tahun itu tidak cergas bagi perlawanan menentang Aston Villa, Ahad ini tetapi pemain kelahiran Perancis itu boleh diturunkan ketika United bertemu skuad kendalian Jose Mourinho, Tottenham Hotspur pada 4 Disember.

“Ahad ini, tidak,” kata Solskjaer. “Spurs? Saya tidak boleh menyatakannya ketika ini kerana saya tidak berada di sana untuk melihatnya, kita akan lihat bagaimana keadaannya apabila dia kembali berlatih dengan kami.

“Semua pemain boleh cedera dan apabila Paul cedera, dia bekerja keras untuk kembali. Tiada sebarang keraguan mengenai tahap profesionalnya. keinginannya untuk bermain bola sepak.

“Dia salah seorang pemain tengah terbaik di dunia dan ia akan menjadi seperti pembelian pemain baharu sebelum jendela perpindahan dibuka... Dia mempercepatkan proses pemulihannya dan kita akan lihat tidak lama lagi yang dia akan kembali cergas dan boleh bermain.”

Tidak seperti Pogba, Scott McTominay dijangka boleh disenaraikan ketika menentang Villa selepas terlepas dua perlawanan susulan kecederaan buku lali.

“Kami berharap Scotty akan kembali secepat yang mungkin,” kata Solskjaer. “Mungkin Villa, mungkin juga Spurs tetapi harapnya pada Ahad ini.” - Reuters

Berita Harian X