Jumaat, 29 November 2019 | 7:34am
UNAI Emery

Emery menghitung hari di Arsenal 

PARIS: Masa depan Unai Emery bersama Arsenal tiba ke detik penentuannya hari ini selepas Gunners kalah 1-2 di tangan Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa, pagi tadi.

Arsenal kini mengalami tujuh kekalahan dalam aksi berkenaan iaitu keputusan terburuk mereka sejak 1992.

"Positif tetapi semuanya realistik. Kami terlepas peluang malam ini untuk menang perlawanan ini,” kata Emery kepada BT Sport.

Gol babak kedua oleh pemain midfield Jepun, Daichi Kamada membantu  wakil Jerman itu menang selepas kapten Gunners, Pierre-Emerick Aubameyang memecah kebuntuan pada hujung babak pertama di Stadium Emirates yang separuh penuh.

PEMAIN Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang dan Emiliano Martinez selepas perlawanan Liga Europah menentang pasukan Eintracht Frankfurt. - Foto Reuters

Penyokong Arsenal yang berang dengan prestasi buruk bangun membawa kain rentang dengan tulisan 'Emery Out'.

Aubameyang meledak gol pertama sebelum rehat untuk merakam gol kesembilan dirinya dalam 14 aksi setakat ini.

Namun Kamada menyamakan kedudukan 10 minit kemudian sebelum menambah jaringan kedua pada minit ke-64 menerusi rembatan deras sekali gus memaksa Arsenal menerima kekalahan pertama di gelanggang sendiri dalam kempen itu.

Begitupun Arsenal masih berpeluang mara ke peringkat 32 terbaik jika mereka seri dengan Standard Liege dalam perlawanan 12 Disember ini.

Dalam pada itu, juara Scotland, Celtic menduduki tangga teratas Kumpulan E selepas menang 3-1 ke atas Rennes manakala Wolves turut melangkah ke pusingan kalah mati meskipun seri 3-3 menentang Braga dalam Kumpulan K.

Rangers pula seri 2-2 di gelanggang Feyenoord untuk menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan satu mata di depan Young Boys.

Terdahulu, bintang Roma, Lorenzo Pellegrini terkena lontaran syiling di kepala ketika membantu pasukannya menghidupkan peluang dengan kejayaan 3-0 mengatasi Istanbul Basaksehir.

Kepala Pellegrini terpaksa dibalut selepas terkena beberapa duit syiling sejurus Jordan Veretout, Justin Kluivert dan Edin Dzeko membocorkan gawang tuan rumah. 

Roma menghidupkan peluang selepas pendahulu kumpulan  Borussia Moenchengladbach, menewaskan wakil  Austria, Wolfsberg 1-0 manakala wakil Turki itu ketinggalan satu anak tangga dengan mengutip tujuh mata.

Juara Kazakhstan, Astana bangkit mengejutkan pemain muda Manchester United 2-1. Meskipun kalah, United sudah menempah slot ke pusingan kalah mati.

Kapten United, Jesse Lingard membuka jaringan sebelum Dmitri Shomko menyamakan kedudukan.

Di'Shon Bernard, 19, muncul petualang apabila menjaringkan gol sendiri membolehkan Astana menang perlawanan menentang lawan yang rata-rata berusia 22 tahun.

Bos United, Ole Gunnar Solskjaer melakukan 11 perubahan dalam kesebelasannya berbanding pasukan yang seri menentang Sheffield United dengan memasukkan pemain muda, Ethan Laird, Dylan Levitt dan Bernard.

Solskjaer berkata, beberapa muka baru itu diberi peluang sebagai persiapan menentang Alkmaar pada aksi terakhir kumpulan pada 12 Disember ini.

"Pada satu ketika, kami bermain cemerlang tapi kami membenarkan mereka bangkit. Itu membawa kami berdepan kehampaan.” katanya.

"Pemain muda ini mempelajari banyak perkara dan memberi saya gambaran untik difikirkan. Saya puas hati dengan mereka.”

Dalam pada itu, Shomko, bangga memberitahu UEFA.com bahawa aksi itu akan kekal di memorinya.

"Saya akan beritahu cucu saya, ‘kamu tahu tak saya menjaringkan gol ketika melawan Manchester United’. 

“Tidak penting siapa yang menjaringkan gol. Yang penting kami sudah memenanginya,” katanya. – AFP

Berita Harian X