Rabu, 27 November 2019 | 9:56am
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski merembat ke arah gawang Red Star Belgrade untuk gol keempat peribadinya pada perlawanan Liga Juara-Juara, pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski merembat ke arah gawang Red Star Belgrade untuk gol keempat peribadinya pada perlawanan Liga Juara-Juara, pagi tadi. - Foto AFP

Lewandowski cipta rekod sumbat 4 gol terpantas

BELGRADE: Robert Lewandowski mencipta sejarah Liga Juara-Juara selepas menjaringkan empat gol dalam tempoh 15 minit ketika Bayern Munich membelasah Red Star Belgrade 6-0 di sini, pagi tadi.

Empat jaringan itu yang terpantas dalam sejarah kejohanan juga memahat nama Lewandowski selaku penjaring terbanyak dengan 10 gol daripada lima perlawanan.

Gol awalnya di babak pertama dibatalkan VAR selepas bola terkena tangan rakan sepasukan.

"Paling utama kami beraksi dengan sangat baik, bertahan dan menyerang,” kata Lewandowski kepada media selepas perlawanan.

"Tak kira siapa bermain, kami mengikut pelan permainan. Saya gembira seperti ketika saya tak menjaringkan gol dan kami menang,” katanya.

Leon Goretzka dan Corentin Tolisso juga meledak jaringan di Belgrade namun aksi malam itu jelas milik Lewandowski.

Ketangkasannya di Belgrade mengimbau lima jaringan dilakukan dalam masa sembilan minit ketika Bayern menang 5-1 ke atas Wolfsburg dalam aksi Bundesliga pada September 2015.

Penyerang Poland itu kini menjaringkan 27 gol dalam 20 perlawanan untuk Bayern musim ini.

Selepas membelasah Tottenham 7-2 di London pada Oktober lalu menerusi empat jaringan Serge Gnabry, ia satu lagi malam hebat buat Bayern yang kini menang lima perlawanan berturut-turut di Eropah dan telah pun layak ke saingan 16 terakhir.

Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (kanan) bersaing menanduk bola dengan pemain Red Star Belgrade, Aleksa Vukandovic pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara, pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (kanan) bersaing menanduk bola dengan pemain Red Star Belgrade, Aleksa Vukandovic pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara, pagi tadi. - Foto AFP

Mereka juga makin hampir muncul kelab Jerman pertama menang semua enam aksi peringkat kumpulan sebelum menerima kunjungan Spurs di Allianz Arena dua minggu lagi.

Jurulatih sementara, Hansi Flick kini menang semua empat perlawanan dengan 16 jaringan tanpa bolos sejak Niko Kovac dipecat awal bulan ini dan kekal bertugas sekurang-kurangnya sehingga rehat musim sejuk yang dijangka pada 22 Disember.

Dia merehatkan Joshua Kimmich dan Gnabry tetapi Goretzka memberikan Bayern permulaan impian dengan menanduk masuk hantaran Philippe Coutinho pada minit ke-15 dan Lewandowski tidak bernasib baik selepas jaringan menerusi rembatan kencangnya dibatalkan selepas bola terlebih dahulu terkena tangan Tolisso.

Dia bagaimanapun menebus kehampaan pada minit ke-53 hasil sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan tengah, Milos Degenek.

Lewandowski menjadikan kedudukan 3-0 tujuh minit kemudian selepas menyambar tandukan Tolisso dan menolak bola masuk dari jarak dekat.

Lewandowski melengkapkan hatrik dalam masa 11 minit dengan menanduk masuk hantaran Benjamin Pavard dan jaringan keempatnya terhasil menerusi pertukaran hantaran dengan Ivan Perisic yang disudahkan dengan rembatan pada minit ke-68.

Tolisso melengkapkan malam gemilang Bayern pada minit ke-89 selepas mendapat hantaran Perisic. – AFP

Berita Harian X