Isnin, 25 November 2019 | 1:32pm
JOSE Mourinho.
JOSE Mourinho.

Tottenham harap magis Mourinho

LONDON: Tottenham menyerahkan kepada Jose Mourinho untuk mengekalkan status mereka dalam saingan elit Liga Juara-Juara, tetapi permulaan buruk dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) menyebabkan pengurus dari Portugal itu mempunyai tugas berat.

Pelantikan Mourinho yang terkenal dengan gelaran ‘Yang Teristimewa’ itu bukanlah disukai ramai dalam kalangan penyokong Spurs memandangkan rekodnya dua kali sebagai pengurus Chelsea sebelum ini.

Dia bagaimanapun berjaya melonjakkan imej pada penampilan sulungnya apabila mencatatkan kemenangan pertama Tottenham di tempat lawan dalam saingan EPL sejak Januari lalu dengan kemenangan 3-2 di West Ham, Sabtu lalu.

Tiga mata yang diperoleh itu merapatkan jarak pasukan itu dengan kelompok empat terbaik liga kepada sembilan mata, tetapi permulaan baik Liverpool, Leicester, Manchester City dan Chelsea bermakna Spurs perlu mengharapkan prestasi pencabar terbabit merudum bagi membantu mereka memperbaiki kedudukan.

JOSE Mourinho bersama pemain Tottenham Hotspur selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris. - Foto AFP
JOSE Mourinho bersama pemain Tottenham Hotspur selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris. - Foto AFP

Perjanjian yang ditandatangani Mourinho, minggu lalu dikatakan turut merangkumi bonus £2 juta (RM10.73 juta) jika dia dapat meletakkan pasukan dalam kelompok empat terbaik sekali gus memberi gambaran betapa sukar tugasnya itu.

Adakah kemenangan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab itu akan memberi jalan terbaik buat Spurs memastikan prestij mereka dalam saingan Eropah buat kali kelima berturut-turut?

Di bawah Mauricio Pochettino, yang dipecat minggu lalu selepas lima tahun setengah membimbing kelab itu, Tottenham memperbaiki prestasi setiap tahun di Eropah dan berjaya mara hingga ke final musim lalu sebelum tewas kepada Liverpool.

Meskipun persembahan buruk di liga tempatan dan juga kekalahan 7-2 di laman sendiri kepada Bayern Munich bulan lalu, Pochettino membawa pasukannya ke landasan untuk mara ke pusingan 16 terakhir sekali lagi.

Kemenangan ke atas Olympiakos, awal pagi Rabu ini di laman sendiri akan memastikan Tottenham mara ke peringkat kalah mati.

"Saya rasa kami boleh memenangi perlawanan di tempat sendiri sekali gus memastikan tempat ke peringkat kalah mati," kata Mourinho yang mempunyai rekod membanggakan dengan membawa Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United layak dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. - AFP

Berita Harian X