Jumaat, 22 November 2019 | 10:34am
CRISTIANO Ronaldo

Ronaldo sedia berdepan Atalanta

MILAN: Cristiano Ronaldo mengatakan dia tidak ‘100 peratus’ cergas walaupun meledak gol buat Portugal tetapi sentiasa bersedia bermain buat Juventus yang dilanda kecederaan pemain menentang Atalanta esok bagi meneruskan rentetan kemenangan mereka seterusnya kekal di persada Serie A.

Juventus akan berkunjung ke pasukan tangga kelima Atalanta sebelum menanti kunjungan Atletico Madrid pada saingan Liga Juara-Juara minggu depan.

Skuad kendalian Maurizio Sarri kini hanya satu mata di depan pasukan Antonio Conte, Inter Milan selepas 12 perlawanan manakala Lazio dan Cagliari lapan mata di belakang pendahulu itu berkongsi kedudukan ketiga.

Atalanta melalui tiga perlawanan liga tanpa kemenangan dan berazam untuk kembali ke Liga Juara-Juara ketika mereka dua mata di belakang pasukan keempat sebelum kunjungan ke Shakhtar Donetsk.

Masalah Atalanta bermula selepas kecederaan paha bintang Colombia, Duvan Zapata yang menjaringkan enam gol dalam saingan Serie A sebelum diketepikan untuk lima saingan liga.

Ketika Atalanta menanti kehadiran semula Zapata, Juventus akan beraksi tanpa pertahanan Alex Sandro, yang mengalami kecederaan paha ketika bermain bersama Brazil manakala Blaise Matuidi belum sembuh daripada kecederaan rusuk.

Ronaldo mahu membalas kembali selepas dia direhatkan pada perlawanan terakhir Juventus menentang AC Milan.

“Pada tiga minggu terakhir, saya bermain dalam kapasiti dikurangkan,” kata Ronaldo.

“Saya tidak suka digantikan, tiada siapa yang suka,” kata Ronaldo. “Saya cuba membantu Juve walaupun saya cedera.” - AFP

Berita Harian X