Khamis, 21 November 2019 | 9:36pm
Gambar fail, aksi pemain Melaka United, Patrick Reichelt (kiri) dalam perlawanan persahabatan menentang UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Rasul Azli Samad

Patrick tuju Thailand

MELAKA: Melaka United (MU) terpaksa melepaskan penjaring terbanyaknya musim ini, Patrick Reichelt yang memilih untuk menyertai Liga Thailand musim depan.

Penolong pengurus Liga Super Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin, berkata pemain itu memaklumkan kepada Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li dan pengurusan mengenai tawaran daripada salah satu pasukan terkemuka di negara berkenaan.

Dalam masa sama, katanya MU juga sudah menawarkan penyambungan kontrak kepadanya yang tamat 30 November ini tetapi persatuan itu tidak berhasrat menahan kemahuannya berikutan tawaran lebih lumayan daripada kelab terbabit.

“Ia juga di luar bajet dan kemampuan kita untuk membolehkan dia kekal bersama pasukan. Apa yang kami harapkan dia akan terus cemerlang bersama pasukan berkenaan.

“Apapun kami akui sumbangan besarnya kepada kecemerlangan pasukan Hang Tuah terutama turut memberi pendedahan berharga kepada pemain muda,” kata Syahrul.

Penyerang kebangsaan Filipina yang mengisi kuota pemain Asean Melaka itu memiliki pengalaman luas termasuk di Piala Asia 2019 dan juga Piala AFF Suzuki 2018 selain pernah beraksi di Jerman selama lima musim dan jelas menjadi aset Melaka sepanjang musim ini.

Patrick yang mengisi kekosongan ditinggalkan pemain tengah Singapura, Shahdan Sulaiman musim ini menyaksikan Melaka perlu menyenaraikan muka baharu bagi kuota berkenaan bagi berganding dengan Jang Suk Won (Korea Selatan) memilih kekal untuk musim 2020.

Syahrul Nizam berkata, sementara itu, surat terima kasih dan tidak menyambung kontrak pemain yang tidak disenaraikan sudah dikeluarkan kepada semua pemain minggu lalu dengan hanya 10 dalam kalangan mereka dikekalkan musim depan.

Katanya, antara yang meneruskan khidmat bersama pasukan termasuk Safiq Rahim, Razman Roslan Saiful Ridzuwan Selamat dan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman.

 

 

Berita Harian X