Khamis, 21 November 2019 | 9:08pm
Bintang Sweden, Zlatan Ibrahimovic ditawarkan kontrak enam bulan. - Foto Katharine Lotze

AC Milan pikat Ibrahimovic

MILAN: Bintang Sweden, Zlatan Ibrahimovic ditawarkan kontrak enam bulan bagi membantu gergasi Itali yang sedang bergelut, AC Milan, lapor media di Itali, hari ini.

Penyerang berusia 38 tahun itu sah meninggalkan kelab Los Angeles Galaxy minggu lalu susulan penyingkiran kelab itu dalam saingan playoff Liga Bolasepak Major (MLS).

Gazzetta dello Sport dan Sky Sports Italia melaporkan bekas juara Eropah tujuh kali itu sudah menghubungi ejen Ibrahimovic, Mino Raiola.

Kelab dimiliki jutawan Amerika Syarikat itu mahu mendapatkan khidmat bekas penyerang Sweden itu selama enam bulan dan bersedia untuk membayar 6 juta euro (RM27.75 juta) jika dia kekal selama 18 bulan, lapor Gazzetta.

Milan menamatkan saingan Serie A musim lalu di tangga kelima sekali gus terlepas tiket ke Liga Juara-Juara dan dikecewakan dengan perbezaan satu mata oleh seteru tetangga, Inter Milan.

Kelab itu mengharungi permulaan buruk musim ini apabila menghuni tangga ke-14 liga selepas 12 perlawanan dan dijadual menanti naib juara Serie A musim lalu, Napoli di San Siro.

Ibrahimovic pernah bermain selama dua musim di antara 2010 hingga 2012 bersama Milan dan membantu kelab itu menjulang gelaran Serie A terakhir mereka selain menjaringkan 42 gol dalam 61 perlawanan.

Selain Milan, penyerang tinggi lampai itu turut memenangi tiga gelaran Serie A bersama Inter, dua bersama Juventus namun kedua-duanya ditarik balik susulan skandal mengatur perlawanan. - AFP

Berita Harian X