Khamis, 21 November 2019 | 6:25pm
Gambar fail, pertahanan Arsenal, Rob Holding. - Foto Getty Images

Gunners tidak bermasalah - Holding

LONDON: Arsenal masih belum berdepan ‘krisis’ dan kelab itu berupaya mengesahkan kedudukan empat terbaik Liga Perdana pada Mei, kata pertahanannya Rob Holding.

Skuad kendalian Unai Emery tergelincir ke tangga keenam liga selepas mengharungi 12 perlawanan musim 2019-20, berada di belakang kelab yang baru dinaikkan pangkat Sheffield United menerusi perbezaan jaringan.

Kekalahan 2-0 kepada Leicester sebelum rehat antarabangsa juga meletakkan Arsenal ketinggalan lapan mata daripada tempat ke Liga Juara-Juara dengan mereka dijadual bertemu Southampton di Emirates, Sabtu ini.

Situasi itu turut meletakkan kedudukan Emery dalam bahaya dengan beberapa nama dikaitkan dengan Gunners tetapi Holding berkata ia bukannya sesuatu yang teruk dengan ‘beberapa kemenangan’ akan mengembalikan semula keyakinan pemain.

“Kami hanya memerlukan beberapa kemenangan dan saya fikir ia akan meningkatkan semula keyakinan dan harap ia menjadi permulaan buat kami,” kata Holding.

“Kami hanya perlu terus kekal tenang dan positif. Kami berada di tangga keenam, bukannya terlalu jauh. Kami akan mengharungi tempoh sibuk pada Krismas dan akan menempuh tiga perlawanan Liga Perdana dalam seminggu.

“Kami ketinggalan lapan mata daripada kedudukan empat terbaik tetapi jika kami menang tiga perlawanan dalam seminggu, jurang kembali rapat jadi ia bukan krisis seperti yang dibayangkan. Kami semua perlu tenang, positif dan terus berkerja keras untuk memperbaiki apa yang perlu dibaiki.”

Selain kedudukan Emery, isu siapa yang memakai lilitan kapten turut menjadi topik perbincangan hangat selepas pemain Switzerland, Granit Xhaka dilucutkan tugas itu dan digantikan dengan Pierre-Emerick Aubameyang.

"Pierre hebat di bilik persalinan. Dia memiliki karakter yang gembira jadi semua orang berasa positif disampingnya,” kata Holding. “Dia tahu melonjakkan semangat pemain dan memimpin dengan apa dilakukannya di atas padang.” - Agensi

 

 

Berita Harian X