Sabtu, 16 November 2019 | 10:03pm
Skuad negara menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Skuad negara menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Lupakan Thailand, fokus Indonesia

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya perlu melupakan segera kejayaan manis menundukkan Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu.

Sebaliknya, anak buah Tan Cheng Hoe perlu memberikan fokus sepenuhnya kepada misi wajib menang ke atas Indonesia pada aksi kelima Kumpulan G yang akan berlangsung di gelanggang sama, Selasa ini.

Pemain sayap Harimau Malaya, Mohamaodu Sumareh menjelaskan kemenangan ke atas Indonesia bakal memberikan harapan lebih tinggi buat Malaysia melepasi kempen kelayakan pusingan kedua itu.

Skuad negara menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Skuad negara menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

"Sekarang kita ada harapan (selepas menewaskan Thailand), jika berjaya menewaskan Indonesia, harapan itu akan menjadi lebih besar,” kata Sumareh.

"Segalanya bukan mustahil dan Bukit Jalil adalah gelanggang kita. Kami akan memberikan tentangan yang sengit kepada mana-mana pasukan."

Sumareh muncul wira skuad negara selepas jaringannya pada minit ke-56 berjaya membantu Harimau Malaya menundukkan Thailand 2-1.

Selain itu, Sumareh turut mengakui motivasinya ketika ini berada pada tahap tertinggi terutama selepas dipilih sebagai Pemain Tengah Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 (ABK 19), kelmarin.

“Saya sangat gembira kerana selepas mengharungi musim yang yang panjang saya mendapat trofi ini. Saya fikir Nor Azam Azih dan Brendan Gan juga mempamerkan aksi terbaik sepanjang musim ini, jadi anigerah ini untuk kami semua," katanya.

Berita Harian X