Jumaat, 15 November 2019 | 12:48pm

Empat tonggak The Fighters angkat kaki

KUANTAN: Empat pemain utama skuad FELDA United FC sah tidak lagi bersama pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020.  

Mereka adalah Hadin Azman yang juga kapten pasukan musim ini, Norazlan Razali, Christie Jayaseelan dan Arif Fadzillah Abu Bakar.  

Pengesahan itu diumumkan Setiausaha Agung FELDA United, Afizal Abu Othman selepas empat pemain itu tidak menandatangani kontrak lanjutan bersama The Fighters.  

"Setakat ini empat pemain utama musim ini memilih untuk menyarung jersi pasukan lain musim depan selain kontrak mereka juga berakhir hujung bulan ini.   

"Kita doakan mereka berjaya bersama pasukan baharu dan FELDA United yang bakal dibarisi pemain muda iaitu 15 pemain mampu mempamerkan prestasi terbaik.  

"Memang kita akui ketiadaan mereka memberi kesan terhadap persembahan pasukan tetapi tiada yang mustahil untuk meletakkan pencapaian terbaik bagi musim depan," katanya.  

Setakat ini, hanya Arif Fadzillah yang sudah mengesahkan pasukan baharu yang disertainya iaitu Terengganu FC (TFC) manakala Hadin, Norazlan dan Cristie belum membuat pengumuman.  

Ditanya mengenai pemain lain yang dijangka membuat keputusan untuk tidak bersama The Fighters, beliau berkata, ada beberapa pemain dalam proses perbincangan.  

"Kita jangkakan perbincangan itu akan dapat diselesaikan sebelum hujung bulan ini kerana mahu membentuk pasukan lebih awal," katanya.  

Bagi saingan Liga M musim 2020, FELDA United masih mengharapkan sentuhan Mohd Nidzam Jamil yang juga bekas pemain kebangsaan untuk mengendalikan kelab itu bagi tempoh dua musim akan datang.

Berita Harian X