Jumaat, 15 November 2019 | 12:30pm
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah Chun

Hamidin tuntut Harimau Malaya teruskan rentak cemerlang

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu momentum cemerlang Harimau Malaya dikekalkan ketika menentang Indonesia bagi aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa ini.

Sambil memuji prestasi yang ditampilkan skuad kebangsaan yang beraksi cemerlang dengan menumpaskan Thailand 2-1 pada aksi keempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi, Hamidin berkata kejayaan itu harus menjadi tonik terbaik buat pemain negara.

"Tahniah saya ucapkan kepada pengurus pasukan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, penolong pengurus pasukan, Datuk Posa Majais; Jurulatih Kebangsaan, Tan Cheng Hoe bersama barisan kejurulatihannya; kapten pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan semua pemain negara.

"Perlawanan malam tadi penting, kita wajib menang dan Harimau Malaya berjaya mencapai misi kemenangan demi negara. Jika sebelum ini, saya akui kecewa dengan kekalahan dengan Vietnam dan UAE, tetapi kali ini, saya amat berpuas hati," kata Hamidin selepas kemenangan itu. 

Justeru, Hamidin mengingatkan barisan pemain negara supaya terus fokus, komited dan berjuang dengan semangat tinggi. 

"Harimau Malaya sudah mempamerkan semangat harimau sebenar meskipun masih ada kelemahan yang perlu kita baiki. 

"Dengan sokongan padu penyokong, Harimau Malaya ibarat memberi hadiah kemenangan buat mereka dan saya amat berharap kita akan terus berbakti kepada penyokong dan negara. 

"Sekali lagi, gunakan peluang beraksi di laman sendiri menentang Indonesia nanti, buktikan sekali lagi anda pemain-pemain negara yang bagus," katanya. 

Hamidin juga menyeru penyokong Malaysia supaya terus memenuhi Stadium Nasional bagi memberi suntikan semangat kepada pemain negara menentang Indonesia. 

 

 

Berita Harian X