Jumaat, 15 November 2019 | 7:37am
Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo cuba menggelicik pemain Lithuania, Vytautas Andriuskevicius pada kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi. - Foto EPA

Ronaldo terus mengganas

FARO, Portugal: Cristiano Ronaldo meledak hatrik kesembilan dalam kancah antarabangsa ketika Portugal selangkah untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Euro 2020 dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Lithuania, awal pagi tadi.

Penyandang juara Eropah itu terpaksa menunggu lebih lama untuk layak selepas satu lagi pasukan dalam Kumpulan B, Serbia turut mencatat kemenangan 3-2 ke atas Luxembourg.

Prestasi Ronaldo sebelum ini diragui selepas dia digantikan dalam dua perlawanan oleh jurulatih Juventus, Maurizio Sarri dengan pengendali dari Itali itu mendakwa penyerang bintangnya itu bergelut dengan kecederaan lutut.

Situasi itu mencetus berang bekas penyerang Real Madrid itu yang bertindak meninggalkan Stadium Allianz sebelum perlawanan tamat ketika kemenangan 1-0 Juve ke atas AC Milan, minggu lalu.

“Saya tahu dia (Ronaldo) mampu untuk bermain,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos. “Permainannya dihentikan berikutan keraguan mengenai keadaan fizikalnya, bagi sesiapa yang mempunyai keraguan itu. Saya secara peribadi tiada, dan saya menyatakannya.”

Portugal ketika ini menghuni tangga kedua Kumpulan B di belakang Ukraine yang sudah pun layak dan memiliki kelebihan satu mata di depan Serbia.

Begitupun, mereka boleh mengesahkan tiket ke pusingan akhir Euro 2020 tahun depan dengan kemenangan di Luxembourg, awal pagi Isnin ini. - AFP

Pemain Portugal, Bernardo Silva (kiri) mengawal bola dari pemain Lithuania, Arvydas Novikovas pada kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi. - Foto EPA

Berita Harian X