Khamis, 14 November 2019 | 10:57pm
Penyerang Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh (dua dari kiri) meraikan gol kedua pada saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sebentar tadi. - NSTP/Mohamd Shahril Badri Saali

Tahniah Harimau Malaya!

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya terus membuka peluang dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas menumpaskan Thailand 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Jaringan Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh pada minit ke-26 dan 56 sudah cukup untuk mengecewakan Thailand walaupun pelawat terlebih dulu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Chanathip Songkrasin.

Aksi Muhammad Syafiq Ahmad diasak pemain Thailand pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sebentar tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Malah, keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan ke atas skuad Gajah Perang hampir lima tahun selepas kali terakhir menang 3-2 pada final kedua Piala AFF 2014.

Kemenangan itu juga membolehkan Harimau Malaya mengumpul enam mata selepas empat perlawanan dalam Kumpulan G, manakala Thailand kekal dengan tujuh mata.

Bukan sekadar menilai berdasarkan keputusan, namun melihat kepada corak permainan dan semangat juang semua pemain yang seakan 'dirasuk' boleh dikatakan ia antara persembahan terbaik Harimau Malaya.

Skuad negara menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Keberanian Tan Cheng Hoe melakukan rombakan kecil dalam senarai kesebelasan utama termasuk menyenaraikan Syamer Kutty Abba di bahagian tengah, Syahmi Safari di benteng kanan dan penjaga gol, Khairulazhan Khalid tampak membuahkan hasil.

Malah, ketiga-tiganya dilihat berjaya memberikan apa yang dimahukan Cheng Hoe terutama Syamer yang sebelum ini mendapat kritikan daripada segelintir penyokong.

Gandingan Syamer bersama Brendan Gan dan Nor Azam Azih dibahagian tengah juga berjaya menenggelamkan tonggak Gajah Gerang, Chanathip Songkrasin yang sebelum ini menjadi kebimbangan utama kem Harimau Malaya.

Mohamadou Sumareh (kanan) diasak pemain Thailand, Korrakot Wiriya Udomsiri pada saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Harimau Malaya akan berdepan Indonesia di gelangggang sama pada 19 November ini dan ia satu lagi perlawanan wajib menang buat anak buah Cheng Hoe jika mahu melepasi kelayakan pusingan kedua.

Berita Harian X