Khamis, 14 November 2019 | 2:24pm
ADUL Ithipatanat (kanan) dan Amonrat Wongbugram.

4 hari kayuh dari Bangkok demi Thailand

KUALA LUMPUR: Demi memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan Thailand, pasangan suami isteri, Adul Ithipatanat dan Amonrat Wongbugram sanggup menempuh perjalanan lebih 900 kilometer (km) dari Bangkok ke sempadan Malaysia berhampiran Bukit Kayu Hitam dengan berkayuh basikal.

Kelibat Ithipatanat dan Wongbugram pantas mencuri perhatian orang ramai khususnya penyokong Harimau Malaya yang tiba lebih awal di Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi mendapatkan tiket masing-masing, sebentar tadi.

Apatah lagi, Ithipatanat yang dikenali sebagai Mr Thailand turut mengenakan kostum unik, Siam Warriors yang merupakan pahlawan Thailand.

Bertemakan tema 'No Limit To Cheer',  Ithipatanat berkata, dia memakai kostum itu untuk menceriakan suasana.


ADUL Ithipatanat.

"Kami ambil masa empat hari untuk tiba di sempadan di Sadao dari Bangkok. Ada kalanya kami berkayuh dan ada juga kami menaiki pengangkutan awam.

"Agak mustahil untuk kami berkayuh sepanjang jalan. Dari sempadan, kami ke Kuala Lumpur menaiki pengangkutan awam.

"Tujuan saya pakai kostum ini lebih kepada untuk menceriakan suasana. Perseteruan Malaysia dan Thailand hanya dalam padang tetapi di luar, kita adalah kawan," katanya ketika ditemui di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad Harimau Malaya akan turun menghadapi Gajah Perang pada aksi keempat Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, malam ini.

Ketika ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe menghuni tangga keempat, hasil kemenangan 3-2 ke atas Indonesia sebelum tewas 2-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 1-0 kepada Vietnam.

Berita Harian X