Khamis, 14 November 2019 | 1:00pm
Solskjaer menegaskan skuad mudanya akan kembali mencabar kejuaraan sekali lagi. - Foto EPA

Man United sentiasa bangkit - Solskjaer

LONDON: Bos Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan skuad mudanya akan kembali mencabar kejuaraan sekali lagi.

Red Devils jarang menghadirkan cabaran merebut kejuaraan Liga Perdana sejak kali terakhir menjulang trofi berkenaan buat kali ke-20 dalam penampilan terakhir pengurus legenda, Sir Alex Ferguson pada 2013.

United menamatkan saingan di tangga kedua pada musim 2018 di bawah kendalian Jose Mourinho tetapi ketinggalan 19 mata di belakang juara, Manchester City.

Mourinho dipecat setahun kemudian selepas mengharungi musim tidak konsisten dan digantikan dengan bekas penyerang, Solskjaer yang mengemudi pasukan itu menamatkan saingan di tangga keenam.

Pengendali kelahiran Norway itu membina semula pasukannya menggunakan pemain-pemain muda, tetapi berikutan itu juga, ia membawa kepada keputusan yang tidak konsisten.

United ketika ini menghuni tangga ketujuh liga selepas mengutip 16 mata daripada 12 perlawanan tetapi Solskjaer berkata ia tidak akan mengambil masa terlalu lama sebelum skuad kendaliannya berupaya mencabar kelab seperti Liverpool dan Manchester City.

“Saya amat yakin,” kata Solskjaer. “Perkara yang utama, ia bukan mengenai keyakinan, atau berlagak, atau menjadi sombong atau berfikir jalan saya adalah tepat. Ia adalah mengenai apa yang kamu percaya.

“Saya percaya dengan apa yang saya lakukan ketika ini. Saya percaya dengan apa yang saya sentiasa lakukan ketika menjadi pemain, iaitu mendengar nasihat pengurus dan kemudian melakukan yang terbaik. Kini apa yang saya percaya adalah pemain-pemain muda dan memberikan mereka peluang bermain.

“Kami tahu yang kami sedang mengharungi tempoh yang sukar ketika ini tetapi kami akan mengatasinya. Kerana kelab ini sentiasa akan bangkit selagi mana kami mengharunginya dengan cara yang betul.

“Semua orang di Manchester United tahu ia adalah satu keluarga. Ia bukan mengenai ego atau mengenai saya. Sir Alex sentiasa berkata ‘tiada nombor satu dalam pasukan’ dan dia betul. Kini kami mempunyai kumpulan yang betul yang akan memberikan segala-galanya kepada pasukan. Ia akan mengambil masa tetapi kami akan berada di sana.” - Agensi

Berita Harian X