Khamis, 14 November 2019 | 10:18am
Ibrahimovic sah meninggalkan Los Angeles Galaxy namun tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai perancangan masa depan. - Foto fail Reuters

Terima kasih Galaxy, kembali tonton besbol - Ibrahimovic

LOS ANGELES: Bintang Sweden, Zlatan Ibrahimovic sah meninggalkan Los Angeles Galaxy namun tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai perancangan masa depan mahupun kemungkinan persaraan.

Pemain berusia 38 tahun itu sememangnya dijangka akan meninggalkan Galaxy selepas kelab itu tersingkir daripada playoff Liga Bolasepak Major (MLS) bulan lalu.

Ibrahimovic yang menyertai Galaxy pada pembukaan kempen 2018 mengumumkan kariernya di California berakhir menerusi laman Twitter.

“Saya datang, saya lihat, saya tawan. Terima kasih @lagalaxy untuk membuatkan saya rasa hidup kembali,” kata Ibrahimovic. “Kepada peminat Galaxy - kamu mahukan Zlatan, saya berikan Zlatan. Cerita diteruskan... kini kembali menonton besbol.”

Galaxy menerusi kenyataan menjelaskan perpisahan dengan Ibrahimovic adalah persetujuan bersama.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Zlatan atas sumbangannya kepada LA Galaxy dan Liga Bolasepak Major,” kata Presiden LA Galaxy, Chris Klein. Sejak kehadirannya pada 2018, Zlatan memberikan pengaruh positif kepada bola sepak di Los Angeles. 

“Kami bersyukur dengan kerja dan semangatnya. Kami mengucapkan terima kasih kepada profesionalisme dan kesan yang diberikan tidak ternilai kepada komuniti Los Angeles dan Amerika Utara secara keseluruhan.”

Ibrahimovic dikaitkan dengan kepulangan semula ke kelab Itali, AC Milan di mana dia beraksi selama dua musim antara 2010 dan 2012, menjaringkan 42 gol dalam 61 penampilan liga.

Pesuruhjaya MLS, Don Garber memberi bayangan minggu lalu yang Ibrahimovic mungkin kembali ke Itali, memberitahu ESPN dalam sesi temubual bahawa penyerang itu sedang “direkrut” Milan.

Ibrahimovic turut dilaporkan diintai satu lagi kelab Seria A, Bologna berdasarkan Corriere dello Sport Itali.

Walaupun Ibrahimovic tidak dapat membantu Galaxy kembali ke puncak MLS, bekas penyerang Manchester United itu menjadi salah seorang pemain luar yang menjaringkan 53 gol dalam 56 penampilan semusim. - AFP

Berita Harian X