Selasa, 12 November 2019 | 7:28am
BARISAN skuad B-19 negara.

Azimat anak Rimau benam Thailand

KUALA LUMPUR:  ‘Kita main sampai mati!’ Itu kata-kata semangat yang dipegang pemain negara, Muhamad Umar Hakeem Suhar Redzuan dan rakan sepasukan ketika menewaskan Thailand pada aksi terakhir kelayakan sekali gus layak secara merit ke Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, tahun depan.

Menurut pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu, semangat berpasukan yang ditunjukkan mereka jelas berjaya mengatasi Thailand sekalipun lawan itu menurunkan tonggak yang juga Pemain Muda Terbaik AFF, Suphanat Muenta pada aksi di Kemboja, kelmarin.

“Saya bersyukur kerana kami bekerja 98 minit sampai mati dan tidak berfikir apa-apa.

“Namun kalau tiada rakan sepasukan yang lain, sudah tentu saya tidak dapat menjaringkan gol kemenangan ini.

“Mereka ada Suphanat tetapi hanya harapkan pada seorang pemain.

“Kita harapkan setiap pemain yang ada dalam pasukan, jadi kelebihan pada kita.

“Kita ada 23 pemain yang berkualiti dan mampu beraksi lebih bagus berbanding Suphanat.”

Kemenangan 1-0 yang menghantar skuad negara ke Uzbekistan itu turut menyaksikan mereka berjaya membalas dendam di atas kekalahan 0-1 di tangan Thailand pada aksi terakhir peringkat kumpulan Kejuaraan B-18 AFF 2019 sebelum ini.

“Kita kalah sebelum ini tetapi harus diingat, setiap saat kita meningkat sedikit demi sedikit dan kita belajar banyak perkara daripada perlawanan yang diharungi.

“Thailand tidak seharusnya memandang rendah kita. Walaupun 80 minit tidak mendapat gol dan kami tahu sukar menentang lawan itu tetapi kami tidak tertekan kerana kami pasti akan dapat menjaringkan gol jika tidak berputus asa,” kata pemain berusia 17 tahun itu.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Brad Maloney itu mara ke pusingan akhir dengan rentak cemerlang apabila memenangi semua empat perlawanan yang diharungi bermula dengan kemenangan 5-4 ke atas Kemboja, 11-0 menentang Brunei dan membelasah Kepulauan Mariana Utara 10-0 sebelum melengkapkan rekod bersih ke atas Thailand.

Berita Harian X