Isnin, 11 November 2019 | 7:05pm

Bola sepak Malaysia ada masa depan cerah - Maloney

KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad bawah 18 tahun (B-18) layak secara merit ke Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020, mungkin sedikit sebanyak melegakan penyokong bola sepak tempatan.

Ini kerana kejayaan anak buah Brad Maloney yang kini memegang status sebagai satu daripada 16 pasukan terbaik Asia menyaksikan Malaysia berjaya melahirkan barisan pelapis berkualiti sekali gus meletakkan masa depan bola sepak negara berada pada landasan tepat untuk kembali ‘mengaum’.

Maloney berkata, anak buahnya berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di pentas antarabangsa menerusi identiti bola sepak mereka yang tersendiri dengan mereka berjaya menyempurnakan apa dipraktikkan ketika berada di atas padang.

“Pusingan kelayakan ini sememangnya mencabar namun pemain kita mendapat ganjaran kerana usaha keras mereka yang sentiasa mahukan keputusan terbaik setiap kali turun beraksi.

Skuad B-18 tiba di KLIA hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

“Kami tahu mengenai identiti permainan yang kami mahu terapkan dan pemain dapat menyesuaikan diri dengan pantas. Mereka melakukannya dengan sangat baik dalam setiap perlawanan di sini.

“Jika mereka terus berusaha keras untuk meningkatkan lagi mutu permainan mereka, saya yakin bola sepak Malaysia memiliki masa depan yang cerah,” katanya.

Jaringan Muhamad Umar Hakeem pada minit ke-83 membantu Malaysia menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir peringkat kelayakan di Kemboja dan menyaksikan skuad negara mengekalkan rekod bersih menang semua empat perlawanan.

Pencapaian itu membolehkan anak buah Maloney layak secara merit selaku juara Kumpulan G ke Uzbekistan, tahun depan.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Maloney itu mara ke pusingan akhir dengan rekod cemerlang apabila memenangi semua empat perlawanan diharungi bermula dengan kemenangan 5-4 ke atas Kemboja, 11-0 menentang Brunei dan membelasah Kepulauan Mariana Utara 10-0 sebelum melengkapkan kemenangan 1-0 ke atas Thailand.

Jurulatih skuad B-18, Brad Maloney. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X