Isnin, 11 November 2019 | 7:27am
PEMAIN Liverpool meraikan jaringan gol ketika menentang pasukan Manchester City di Anfield, awal pagi tadi. - Foto EPA
SADIO Mane selepas menjaringkan gol. - Foto EPA

Liverpool jinakkan Man City di Anfield

LIVERPOOL: Liverpool mengembalikan jurang lapan mata di puncak Liga Perdana dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas penyandang juara, Manchester City di Anfield, awal pagi tadi.

Kemenangan yang diperoleh menerusi jaringan Fabinho, Mohamed Salah dan Sadio Mane itu menyaksikan Liverpool yang kekal tanpa kalah mengumpul 34 mata daripada 12 perlawanan, kelebihan lapan mata di depan Leicester City dan Chelsea.

City yang dikendali Pep Guardiola terpaksa menghuni tangga keempat liga dan ketinggalan sembilan mata.

Sekali pun ramai yang menyatakan mengenai kepentingan keputusan aksi yang berlangsung pada November dan berbaki 26 perlawanan musim ini, kemenangan Reds terhadap pasukan yang mendominasi Liga Perdana sejak dua musim lalu jelas menunjukkan keinginan tinggi pasukan itu.


AKSI Fabinho selepas menjaringkan gol. - Foto Reuters

“Pemain-pemain jelas amat fokus dan memberi tumpuan. Ia amat bagus,” kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

Anfield ‘bergegar’ apabila tuan rumah mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan jauh menarik pemain Brazil, Fabinho sebelum kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-13 menerusi jaringan penyerang sensasi, Salah yang berpunca daripada hantaran Andy Robertson.

Sekali pun turut berpeluang menjaringkan gol selain dipalit isu Video Bantuan Pengadil (VAR), gawang City yang dikawal Claudio Bravo sekali lagi bocor pada minit ke-51 menerusi Mane juga menerusi hantaran Robertson.


MOHAMED Salah ketika menjaringkan gol kedua buat Liverpool. - Foto EPA

Gol sagu hati City dijaringkan Bernardo Silva pada minit ke-78 selepas menerima hantaran rendah Angelino dan sekali pun melakukan tekanan, ia sudah terlalu lambat bagi menghalang kemenangan Liverpool.

City tidak pernah menang di Anfield dalam saingan liga sejak Mei 2003 dengan satu-satunya kemenangan di gelanggang keramat lawan itu adalah pada 38 lalu.

“Tidak mudah selepas ketinggalan dua gol dan melakukan tindak balas seperti yang kami lakukan. Ia adalah salah satu persembahan terbaik yang pernah saya lihat daripada pasukan saya. Itulah yang kami mahukan dan berharap kami boleh terus melangkah,” kata Guardiola. - Reuters

Berita Harian X