Jumaat, 8 November 2019 | 9:47pm
Irfan zakaria (kiri) dan Nazirul Naim ketika sesi latihan di Hanoi. - NSTP/ihsan FAM

Irfan mahu tebus kecewa 2017

KUALA LUMPUR: Pertahanan tengah kebangsaan, Irfan Zakaria menganggap peluang beraksi di Sukan SEA Filipina menjadi medan terbaik untuknya menebus kembali kekecewaan gagal menyumbang pingat emas buat negara pada temasya sama dua tahun lalu.

Pada Sukan SEA 2017, Irfan yang turut berada dalam skuad bawah 22 (B-22) tahun ketika itu tewas tipis 0-1 kepada Thailand dalam aksi final.

Namun, apa yang membezakan kali ini adalah harapan lebih tinggi dipikul Irfan selepas dia menyertai skuad B-22 atas kuota pemain lebih umur.

Pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun tidak menganggap tanggungjawab besar yang diberikan jurulatih Datuk Ong Kim Swee sebagai satu beban kerana tiada istilah pemain senior atau junior di atas padang.

"Ini satu penghargaan bagi saya sebab jurulatih memberi peluang untuk saya menunjukkan kemampuan dan saya akan bagi komitmen 100 peratus.

"Tahun ini saya akan buat yang terbaik untuk dapatkan pingat emas, sebab saya memang sedih selepas final Sukan SEA dua tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Kim Swee menjelaskan pemilihan Irfan berdasarkan pengalaman dimilikinya termasuk bersama skuad B-22 dan Harimau Malaya yang diyakini mampu mengukuhkan bahagian pertahanan.

"Seorang lagi pemain lebih umur hanya akan ditentukan selepas pusingan kelayakan Piala Dunia iaitu Harimau Malaya  menentang Indonesia yang mana posisinya terpulang kepada keperluan," katanya.

Berita Harian X