Jumaat, 8 November 2019 | 12:47pm
ZLATAN Ibrahimovic

Ibrahimovic tuju AC Milan

LONDON: Zlatan Ibrahimovic bersedia untuk menyertai semula kelab Serie A Itali, AC Milan selepas mengharungi kempen yang berjaya bersama LA Galaxy, kata bos Liga Bolasepak Major (MLS), Don Garber.

Penyerang veteran Sweden berusia 38 tahun itu menghabiskan tempoh 18 bulan di MLS tetapi kontraknya bersama Galaxy akan berakhir pada penghujung tahun ini dan dikaitkan dengan beberapa kelab ternama Eropah.

Ibrahimovic pernah bermain di Milan di antara musim 2010 hingga 2012, menjaringkan 42 gol dalam 61 penampilan liga dan Garber mendedahkan destinasi pemain itu berikutnya adalah Serie A.

"Zlatan lelaki yang amat menarik,” kata Garber. “Dia memenuhi segala impian saya, tetapi dia seorang yang gemarkan cabaran. Dia adalah lelaki berusia 38 yang sedang dipancing AC Milan, salah satu kelab terbaik dunia.”

Ibrahamovic disenarai dalam kesebelasan terbaik MLS bagi musim 2018 dan 2019 selepas meledak 53 gol dalam semua kejohanan. 

Begitupun musimnya bersama Galaxy berakhir dengan nota kurang menggembirakan apabila tewas 5-3 kepada seteru tetangga, Los Angeles FC di separuh akhir Piala MLS Western Conference bulan lalu.

Selain Milan, Ibrahamovic turut dikaitkan dengan satu lagi bekas kelabnya, Manchester United dan kepulangan semula ke Sepanyol. - Reuters

 

 

Berita Harian X