Selasa, 5 November 2019 | 12:24am
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

Klopp tempelak Guardiola

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menolak tuduhan bos Manchester City, Pep Guardiola yang mendakwa Sadio Mane gemar merebahkan badan menjelang pertembungan menarik membabitkan dua pasukan teratas Liga Perdana itu.

Mane dilayangkan kad kuning selepas gagal mendapatkan penalti sebelum melakukan umpanan dan menjaringkan gol kemenangan ketika Reds menewaskan Aston Villa 2-1, Sabtu lalu.

Guardiola yang skuad kendaliannya turut meledak gol lewat untuk membenam Southampton menuduh pemain kelahiran Senegal itu dengan berkata: “Kadang kala dia sengaja merebahkan badan, kadang kala dia mempunyai bakat untuk meledak gol yang menakjubkan di saat akhir.”

Klopp yang sedang menyiapkan pasukannya menghadapi perlawanan Liga Juara-Juara bertemu Genk, awal pagi Rabu ini begitupun menolak kenyataan itu.

“Saya tidak pasti dia bercakap mengenai Sadio atau kami secara umum,” kata Klopp. “Saya tidak mendengar nama Sadio disebut atau tahu bagaimana kami tahu dengan amat pantas mengenai sebarang insiden dalam permainan.

“Saya boleh katakan yang Sadio bukan orang yang sengaja merebahkan badan. Ada situasi dalam perlawanan dengan Aston Villa di mana dia disentuh dan terjatuh. Mungkin ia bukan penalti tetapi ada sentuhan, ia bukannya dia sengaja melompat dan terjatuh.”

Pengendali dari Jerman itu juga enggan membicarakan lebih lanjut mengenai perlawanan dengan City ketika skuad kendaliannya memiliki kelebihan enam mata di puncak liga.

“Saya benar-benar tidak berminat untuk bercakap mengenai Man City hari ini,” kata Klopp dengan Liverpool ketika ini menghuni tangga kedua Kumpulan E Liga Juara-Juara selepas tiga perlawanan, satu mata di belakang Napoli.

“Saya tidak perlu bercakap mengenai perlawanan City yang berlangsung pada Ahad (awal pagi Isnin), esok adalah bertemu Genk. Saya langsung tidak meragui pemain-pemain saya. Saya akan merasa mahu jika saya berkata kepada mereka, ‘Jangan berfikir mengenai Man City lagi.” - AFP

 

 

Berita Harian X