Isnin, 4 November 2019 | 12:27pm
Pemain Real Sociedad, Cristian Portu (kanan) menjaringkan gol ketika menentang Granada pada perlawanan LaLiga, pagi tadi. - Foto EPA

Sociedad sekat hajat Granada

GRANADA: Real Sociedad menyamai pungutan mata pendahulu La Liga, Barcelona selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas pasukan sedang meningkat naik, Granada di laman lawan hasil jaringan Cristian Portu di hujung permainan.

Portu meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-21 selepas menerima hantaran Mikel Oyarzabal. Perlawanan kembali terikat pada minit ke-36 selepas Alvaro Vadillo menyempurnakan sepakan percuma yang dibantu aksi kurang kemas penjaga gol Sociedad, Alex Remiro.

Granada yang melakar kejutan dengan mendahului sementara liga minggu lalu, memiliki peluang untuk kembali ke puncak selepas Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid gagal mengutip mata penuh.

Namun pelawat terus melakukan serangan dan memastaikan tiga mata pada minit ke-89 selepas pemain gantian, Adnan Januzaj menghantar bola kepada Portu untuk membolehkan penyerang itu menjaringkan gol kemenangan dan keduanya pada perlawanan itu.


Pemain Granada, Ramon Azeez (kiri) cuba menghalang pemain Real Sociedad, Mikel Merino pada perlawanan LaLiga, awal pagi tadi. - Foto EPA

Kemenangan itu meletakkan Real Sociedad di kedudukan ketiga dalam carta dengan 22 mata selepas 12 perlawanan, menyamai kutipan mata pendahulu, Barcelona dan penghuni tangga kedua Real Madrid.

Barca dan Real bagaimanapun beraksi kurang satu perlawanan selepas pertemuan antara mereka ditangguhkan sehingga Disember atas faktor keselamatan.

Pengendali Sociedad, Imanol Alguacil berkata pasukannya layak untuk menang namun tidak berminat untuk membincangkan sama ada mampu untuk kekal dalam kedudukan tiga terbaik sehingga tamat musim ini.

“Tiga mata ini amat penting untuk kami, namun setiap pasukan yang memenangi perlawanan mampu menyaingi pasukan lain,” kata Alguacil.

“Hari ini kami menewaskan pasukan yang berada di depan kami dan kuat di laman sendiri. Kedudukan dalam carta liga tidak penting untuk kami, kami lebih pentingkan cara kami bermain dan kami gembira dengannya.”  – REUTERS

Berita Harian X