Sabtu, 2 November 2019 | 1:00am

Villa tak perlu mimpi nak halang Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

Selepas 10 perlawanan, Liverpool terus gah menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL). Dengan kelebihan enam mata mengatasi pencabar terdekat, Manchester City, jelas dominasi skuad bimbingan Jurgen Klopp kian mencengkam.

Pada aksi terakhir di Anfield menentang Tottenham Hotspur minggu lalu, kelihatannya penguasaan mereka seperti akan kendur sedikit, namun sebaliknya pula berlaku. Harry Kane dan rakan sepasukannya tidak mampu menyekat Mohamed Salah dan The Reds daripada mengutip mata penuh apabila tewas 1-2.

Terdahulu seminggu sebelum itu, Manchester United berjaya menimbulkan rasa cemas buat Klopp dan barisannya, sebelum akhirnya pada minit ke-85 membenarkan mereka berkongsi mata apabila terikat 1-1. Keputusan seri itu adalah yang pertama sekali gus mencalar rekod cemerlang Liverpool.

Minggu ini, Klopp berpeluang melebarkan lagi penguasaan di persada EPL apabila berkunjung ke Villa Park bertemu Aston Villa jam 11 malam ini waktu Malaysia. Ketika ini, skuad bimbingan Dean Smith menduduki tangga ke-15 dengan himpunan 11 mata.

Pada aksi terakhir di Etihad menentang City, The Villans kena belasah 0-3. Mengikut rekod lalu, Liverpool hanya tewas empat kali daripada 29 pertemuan dengan Villa. Dan daripada jumlah itu, mereka hanya kalah sekali daripada 18 kunjungan ke Villa Park.

Apakah yang boleh kita jangkakan daripada pertemuan kali ini? Saya berasakan The Reds bakal membawa pulang mata penuh, namun mungkin tidak semudah seperti pertemuan terdahulu. Villa dibimbing Smith mula menyerlah `taring’ kebelakangan ini, namun mereka tak usah mimpi sekat The Reds.

Kedua-dua pasukan ini akan bertemu lagi pada 16 Disember apabila diundi pada aksi suku akhir Piala Liga Inggeris. Pada pertengahan minggu ini, Villa menewaskan Wolves 1-0 manakala Liverpool mengenepikan Arsenal menerusi penentuan penalti 5-4 selepas terikat 5-5.

Sementara itu, City akan menyambut kunjungan Southampton jam 11 malam ini - kali kedua dalam tempoh lima hari. Pada lawatan pertama, ia saingan Piala Liga Inggeris yang menyaksikan The Saints tumbang 1-3. Adakah ia mampu bangkit atau menjadi mangsa lagi?

Chelsea pula yang tewas kepada United 1-2 pada saingan EPL akan berkunjung ke laman Watford dengan harapan untuk bangkit dan sekali gus mengukuhkan cabaran saingan EPL. Ketika ini skuad Frank Lampard menduduki tangga keempat liga dengan 20 mata.

Arsenal pula akan melayan Wolves dengan Unai Emery memburu kemenangan selepas disingkirkan Liverpool saingan Piala Liga Inggeris dan terikat 2-2 menentang Crysytal Palace aksi EPL minggu lalu. Terdahulu, The Gunners diaibkan Sheffield 1-0 untuk menduduki tangga kelima dengan 16 mata.

United pula akan ke Stadium Dean Court untuk bertemu Bournemouth dengan Ole Gunnar Solksjaer berharap dapat meneruskan kemenangan selepas mara suku akhir Piala Liga Inggeris. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Bournemouth 1 Man United 2

Aston Villa 1 Liverpool 3

West Ham 2 Newcastle 1

Arsenal 1 Wolves 2

Sheffield 1 Burnley 1

Brighton 1 Norwich 2

Man City 5 Southampton 0

Watford 1 Chelsea 2

C Palace 1 Leicester 1

Everton 2 Tottenham 1

Berita Harian X