Khamis, 31 Oktober 2019 | 11:33am
KARIM Benzema meraikan jaringan gol ketika menentang Leganes.

Real kembali mengganas 

MADRID: Real Madrid merakamkan kemenangan terbesar sejak Zinedine Zidane kembali sebagai jurulatih apabila membenam Leganes 5-0 pagi tadi sekali gus menduduki tangga kedua La Liga.

Karim Benzema muncul bintang dalam perlawanan itu apabila pemain Perancis itu mempamer asakan mengagumkan dengan satu gol daripada sepakan penalti selepas Rodrygo, Toni Kroos dan satu lagi sepakan penalti Sergio Ramos sudah terlebih dulu meletakkan pasukan di depan Leganes.

Luka Jovic menambah jaringan kelima pada masa kecederaan.

“Kami sudah lama tidak menjaringkan lima gol,” kata Zidane.

LUKA Jovic meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika perlawanan menentang Leganes. - Foto AFP

“Kami perlukan kejayaan sebegini. Apabila anda mula menjaringkan gol, ia menjadi semakin mudah.”

Gareth Bale pula tidak diturunkan apabila dia masih dalam proses pemulihan kecederaan betis tetapi Madrid bermain seperti biasa tanpa pemain Wales itu yang mana masa depannya bakal dibincangkan minggu depan selepas beliau kembali ke London.

Zidane berkata dia ada bercakap dengan Bale dan menyaksikan beliau di bilik persalinan di  Santiago Bernabeu.

Dia juga ditanya jika Bale mendapat kebenaran untuk meninggalkan permainan lima minit sebelum berakhirnya perlawanan.

“Saya rasa ada,” kata Zidane. “Jika dia meninggalkan permainan lima minit sebelum perlawanan, dia boleh balik ke rumah lebih mudah.”

Benzema kini menjadi antara pemain yang mempamer persembahan konsisten buat beberapa bulan ini dan kini memperoleh tujuh gol dalam semua kejohanan.

“Ia bukan sekadar gol, ini adalah mengenai apa yang dia lakukan untuk  pasukan,” kata Zidane.

“Apa yang dilakukannya tidak mengejutkan saya.” – AFP

 

Berita Harian X