Rabu, 30 Oktober 2019 | 8:12am
OTAMENDI (kanan) dan Aguero meraikan jaringan gol pada perlawanan menentang Southampton. - Foto Reuters
OTAMENDI (kanan) dan Aguero meraikan jaringan gol pada perlawanan menentang Southampton. - Foto Reuters

Man City tambah derita Southampton

LONDON: Manchester City mara ke suku akhir Piala Liga selepas dua gol jaringan Sergio Aguero menambah derita Southampton dalam kemenangan 3-1 awal pagi tadi.

Juara bertahan Piala Liga kendalian Pep Guardiola itu mendahului dua gol sebelum rehat di Stadium Etihad hasil jaringan Nicolas Otamendi dan Aguero.

Guardiola melakukan sembilan pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu, dengan pemain tengah berusia 18 tahun Tommy Doyle membuat penampilan sulungnya.

Datuk Doyle, Mike adalah kapten City ketika mereka memenang Piala Liga pada tahun 1976 dan kelab itu kini dalam pemburuan gelaran ketujuh kejohanan berkenaan.

OTAMENDI bersama rakan sepasukan meraikan jaringan gol pada perlawanan menentang Southampton. - Foto Reuters
OTAMENDI bersama rakan sepasukan meraikan jaringan gol pada perlawanan menentang Southampton. - Foto Reuters

City, yang menjulang trofi berkenaan sebanyak tiga kali sepanjang empat musim lalu, memulakan permainan dengan sorakan “Kami mahu 10” merujuk kepada kekalahan 9-0 Southampton di tangan Leicester pada Jumaat.

Walaupun gagal menyamai keputusan berkenaan, kemaraan City ke suku akhir tampak sukar dihalang apabila mereka menguasai babak pertama.

Namun gol pertama hadir selepas 20 minit apabila Bernardo Silva membuat hantaran yang ditanduk Otamendi. Gol kedua dijaringkan Aguero selepas menerima hantaran lintang Kyle Walker pada minit ke-38.

Aguero meledak gol keduanya dan ketiga City pada minit ke-56 manakala James Ward-Prowse menjaringkan gol tunggal Southampton pada minit ke-75.

Southampton kini di dalam zon penyingkiran Liga Perdana dan pengendalinya Ralph Hasenhuttl dikatakan berdepan pemecatan oleh kelab.

 

“Pertandingan ini bagus untuk menggerakkan pasukan. Kami bermain dengan serius, kualiti hantaran kami juga tinggi,” kata Guardiola.

“Piala Liga amat bagus untuk pemain-pemain muda dan pemain yang tidak beraksi dalam perlawanan sebelumnya.

“Anda tidak boleh menang empat gelaran semusim apabila anda tidak bermain dengan serius. Saya gembira dengan apa yang saya lihat.” – AFP

 

Berita Harian X