Sabtu, 26 Oktober 2019 | 12:45am
Jurgen Klopp (kiri) dan Mauricio Pochettino.

Liverpool dijangka mudah jinak Tottenham

KOLUM APA KATA EPL

Selepas hampir dikejutkan musuh tradisinya, Manchester United di Old Trafford minggu lalu, Liverpool kembali ke Anfield minggu ini, untuk berdepan dengan satu lagi gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspurs.

Ini adalah pertembungan pertama kedua-dua pasukan selepas bertempur pada aksi final Liga Juara-Juara di Stadium ‎Wanda Metropolitano, Madrid, awal Jun lalu yang menyaksikan Liverpool muncul juara selepas mengatasi Spurs, 2-0.

Sejak perlawanan itu, anak buah Jurgen Klopp dan Mauricio Pochettino yang menjadi pilihan untuk `meletop’ musim ini jelas melalui nasib berbeza. Liverpool gah menerajui carta EPL sebaliknya Spurs pula bergelut.


Salah dan Kane.

The Reds ketika ini gah di puncak liga dengan 24 mata, meninggalkan pesaing terdekatnya yang juga juara bertahan, Manchester City dengan kelebihan enam mata manakala Spurs di tangga ketujuh dengan himpunan 12 mata, ketinggalan 13 mata di belakang bakal lawannya itu.

Jika menelurusi rekod pertemuan keduad-dua pasukan ini, saya dapati Spurs ini bukanlah lawan menggerunkan Liverpool. Dalam lapan aksi terakhir di Anfield, Spurs tidak pernah menang ( 3 seri 5 tewas). Kali terakhir menang pada Mei 2011 (2-0).

Musim lalu, Liverpool turut memenangi kedua-dua aksi. Malah mereka juga menang dua musim berturut-turut yang merangkumi aksi pada 2013 hingga 2015. Dengan rekod reputasi seperti ini, mampukah Pochettino mencipta kejutan di Anfield?

Pada aksi terakhir liga minggu lalu, Spurs terus menimbulkan kerisauan peminatnya apabila hanya mampu seri 1-1 menentang Watford. Sebelum itu, mereka dimalukan oleh Brighton apabila dikejutkan 3-0.

Mungkinkah kejayaan membelasah Red Star Belgrade, 5-0 pada saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu mampu membangkitkan mereka? Pun begitu, Liverpool juga mendapat tonik apabila membenam kelab Belgium, Genk 4-1 pada saingan sama. Saya jangkakan aksi ini milik Liverpool.

Dalam pada itu, City yang menewaskan Crystal Palace, 2-0 minggu lalu dan Dinamo Zagreb pada pertengahan minggu, dijangka tidak bermasalah besar untuk mengutip mata penuh apabila menyambut kunjungan Aston Villa, jam 7.30 malam ini waktu Malaysia.

Sekiranya anak buah Pep Guardiola ini menang, mereka boleh mengurangkan kelebihan Liverpool kepada tiga mata, sekali gus memberi tekanan kepada Klopp apabila turun berdepan Spurs kira-kira 24 jam selepas itu. Namun mereka perlu berhati-hati kerana Villa sedang mendadak naik.

Chelsea yang mengejutkan jaguh Belanda, Ajax, 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu dan kini menduduki tangga keempat liga dengan himpunan 17 mata akan bertemu Burnley - perlawanan yang dijangka sukar untuk Frank Lampard mengutip mata penuh.

Arsenal pula yang diaibkan Sheffield pada aksi terakhir liga, sebelum bangkit menjinakkan Vitória Guimarães, 3-2 pada saingan Liga Europa menerima kunjungan Palace. Unai Emery harus tidak melepaskan mata penting lagi.

Sementara itu, United yang menewaskan Partizan, 1-0 saingan Liga Europa turut tidak harus tercicir mata apabila berdepan Norwich selepas cemerlang mengekang Liverpool di laman sendiri minggu lalu. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Southampton 1 Leicester 2

Man City 3 Aston Villa 1

Watford 2 Bournemouth 2

Brighton 2 Everton 2

West Ham 2 Sheffield 1

Burnley 1 Chelsea 1

Newcastle 1 Wolves 2

Arsenal 3 C Palace 1

Liverpool 2 Tottenham 0

Norwich 1 Man United 2

Berita Harian X