Jumaat, 25 Oktober 2019 | 11:39am
JURGEN Klopp dan Pep Guardiola.

City ghairah himpit Liverpool

LONDON: Manchester City berpeluang untuk terus memberi tekanan ke atas peneraju Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool minggu ini tatkala Manchester United mahu menamatkan rekod buruk di gelanggang lawan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp melihat rekod kemenangan mereka ditamatkan oleh United selepas terikat di Old Trafford minggu lalu tetapi masih selesa enam mata di depan pasukan tangga kedua, City.

Bagaimanapun, pasukan juara bertahan itu berpeluang mengecilkan jurang kepada tiga mata sekiranya mereka menewaskan Aston Villa di laman sendiri, esok manakala Liverpool berdepan ujian getir di Spurs keesokan harinya.

Walaupun Liverpool mungkin sudah lupa bagaimana untuk tewas di Anfield selepas mengekalkan rekod bersih 44 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri tetapi mereka harus berwaspada dengan kebangkitan yang diperagakan Spurs termasuk mengatasi Red Star Belgrade 5-0 dalam aksi Liga Juara-Juara, semalam.

Erik Lamela, yang menyumbat gol ketika bertemu Red Star dalam penampilan ke-200 untuk Spurs, berkata kemenangan itu memberi suntikan semangat buat pasukannya yang sedang bergelut.

"Tahap keyakinan kami semakin baik selepas menang 5-0," kata Lamela.

"Kami perlu mengambil aksi ini, terus berusaha dan mencuba lebih baik dan fokus berdepan Liverpool."

Spurs pastinya mahu membalas dendam di atas kekalahan pentas final Liga Juara-Juara musim lalu, namun rekod bagaikan tidak memihak mereka ketika ini.

Tottenham hanya menang satu daripada 15 pertemuan terakhir dengan Liverpool dan tidak pernah menang aksi di tempat lawan sejak Januari lalu.

Sementara itu, United pula berkunjung ke Norwich pada Ahad ini yang menyaksikan bakal menguji prestasi sebenar pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer yang berada dua mata dia atas zon penyingkiran.

Skuad muda Chelsea bimbingan Frank Lampard bertandang ke Burnley dengan membawa motivasi tinggi enam kemenangan berturut-turut manakala Leicester ke Southampton awal pagi nanti. - AFP

Jadual Liga Perdana Inggeris

ESOK

Southampton mln Leicester City, 3 pagi

Man City mln Aston Villa, 7.30 mlm

 

Brighton mln Everton, 10 mlm

Watford mln AFC Bournemouth, 10 mlm

West Ham mln Sheffield United, 10 mlm

AHAD

Burnley mln Chelsea, 12.30 tgh mlm

Newcastle United mln Wolves, 10 mlm

ISNIN

Arsenal mln Crystal Palace, 12.30 tgh mlm

Liverpool mln Tottenham, 12.30 tgh mlm

Norwich City mln Man United, 12.30 mlm

Berita Harian X