Jumaat, 25 Oktober 2019 | 10:33am
JURGEN Klopp dan Mauricio Pochettino.

Peluang Spurs tebus aib di Anfield

LONDON: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool berdepan Tottenham Hotspur awal pagi Isnin ini buat kali pertama sejak malam final Jun di Madrid berakhir dengan anak buah Jurgen Klopp dinobat sebagai juara Eropah.

Sejak itu dua kelab gergasi Inggeris itu mengalami nasib berbeza. Liverpool unggul di puncak Liga Perdana, manakala Tottenham kendalian Mauricio Pochettino bergelut.

Selepas sembilan perlawanan, Liverpool mendahului carta enam mata di depan Manchester City, manakala Tottenham sudah ketinggalan 13 mata ditangga ketujuh selepas hanya tiga kemenangan liga sepanjang musim-permulaan terburuk mereka sejak musim sulung Pochettino pada 2014-15.

City boleh merapatkan jurang dengan Liverpool apabila mereka melayan kunjungan Aston Villa esok, manakala program hujung minggu ini bermula awal pagi Sabtu ini waktu Malaysia apabila pasukan tangga ketiga Leicester City bertandang ke Southampton.

Pasukan tangga keempat Chelsea bertandang ke Burnley pada aksi lewat malam Sabtu manakala Manchester United, di tangga ke-14, berharap kunjungan ke pasukan bergelut Norwich City Ahad ini mampu melonjakkan mereka selepas gagal menang dalam empat aksi terakhir liga.

Semua teori sudah diperkatakan mengenai kemerosotan Tottenham, termasuk kesan daripada Liga Juara-Juara, jendela perpindahan yang mengecewakan, malah Pochettino seperti kekeringan idea selepas kehebatannya mengekalkan kelab utara London itu dalam kelompok empat teratas, empat musim berturut-turut.

Pochettino sekurang-kurangnya boleh tersenyum semula awal pagi kelmarin apabila pasukannya membelasah Red Star Belgrade 5-0 untuk menghidupkan peluang dalam Liga Juara-Juara.

Harry Kane dan Son Heung Min masing-masing menyumbang dua gol dalam persembahan yang membayangkan Tottenham mungkin sedia bangkit daripada kemerosotan mereka.

Liverpool di Anfield bagaimanapun lawan lebih sukar, terutama memandangkan rekod Pochettino menentang mereka dalam semua pertandingan sejak menjadi pengurus Tottenham menyaksikan tujuh kalah, empat seri dan hanya sekali menang.

Di sebalik rekod antara mereka, Tottenham di bawah kendalian Pochettino berakhir di depan Liverpool dalam EPL empat musim berturut-turut sebelum anak buah Klopp berakhir sebagai naib juara musim lalu, 26 mata di atas Spurs.

Tiada tanda-tanda Spurs mampu membaiki rekod pertemuan itu sekalipun Klopp pasti bimbang dengan pasukan Tottenham yang sepatutnya menang di Anfield musim lalu.

Moussa Sissoko mensia-siakan peluang keemasan lewat aksi sebelum gol sendiri pada minit ke-90 oleh Toby Alderweireld menghadiahkan Liverpool kemenangan 2-1.

Tottenham juga pasti mengembalikan semangat susulan rekod kemenangan mereka dalam Liga Juara-Juara kelmarin.

“Kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa. Kami perlu kekal fokus dan mengambil positif (daripada keputusan itu) dan membawanya ke Liga Perdana.

“Kami berdepan satu perlawanan amat sukar Ahad ini jadi saya harap kami boleh meneruskan momentum,” kata Kane.

Catatan 17 kemenangan berturut-turut Liverpool dalam EPL berakhir ketika mereka seri 1-1 di Manchester United hujung minggu lalu, namun tugas Tottenham tetap sukar memandangkan anak buah Klopp membelasah Genk 4-1 di tempat lawan pada aksi Liga Juara-Juara, kelmarin.

Klopp pantas mengalih tumpuannya kepada Tottenham.

“Ia pasukan Tottenham yang kembali segar. Sudah tentu saat mereka bertemu kami mereka kembali ke landasan yang betul!

“Tapi, kami pasukan yang berbeza berbanding Red Star Belgrade, seperti Tottenham yang berbeza dengan Genk,” katanya. - REUTERS

Jadual Liga Perdana Ingeris

ESOK

Southampton mln Leicester City, 3 pagi

Man City mln Aston Villa, 7.30 mlm

Brighton mln Everton, 10 mlm

Watford mln AFC Bournemouth, 10 mlm

West Ham mln Sheffield United, 10 mlm

AHAD

Burnley mln Chelsea, 12.30 tgh mlm

Newcastle United mln Wolves, 10 mlm

ISNIN

Arsenal mln Crystal Palace, 12.30 tgh mlm

Liverpool mln Tottenham, 12.30 tgh mlm

Norwich City mln Man United, 12.30 tgh mlm

Berita Harian X