Selasa, 22 Oktober 2019 | 9:34am
ZINEDINE Zidane dan Sergio Ramos.
ZINEDINE Zidane dan Sergio Ramos.

Zidane, Ramos rimas spekulasi media

ISTANBUL: Zinedine Zidane mengakui spekulasi masa depannya bersama Real Madrid mengganggu persiapannya menentang Galatasaray dalam aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara pagi esok.

Real tiba di Istanbul dengan kekecewaan kalah pertama kali 0-1 di tangan Real Mallorca, dalam La liga musim ini sekali gus membolehkan seteru utama, Barcelona merampas kedudukan teratas.

Bulan lalu, Real turut tewas 0-3 dalam aksi pertama Liga Juara-Juara di tangan Paris St Germain.

Kekalahan terbaru itu menyebabkan media Sepanyol melaporkan spekulasi dengan mendakwa jawatan Zidane dalam bahaya dan Jose Mourinho sudah sedia mengambil alih jawatan itu.

"Saya tidak cakap ia tidak mengganggu saya (spekulasi itu), ia memang mengganggu, tapi apa yang perlu saya buat ialah terus bersikap positif,” kata Zidane, yang sudah tiga kali menjulang trofi Liga Juara-Juara sepanjang mengendali Real.

"Apa yang kamu capai dalam bola sepak akan cepat dilupakan, itulah yang kamu perlu lakukan ketika ini.”

Juara 13 kali gelaran Eropah itu kini tercorot Kumpulan A dengan hanya mengutip satu mata dan kekalahan di tangan Galatasaray boleh memalapkan impian mara.

Bagaimanapun Zidane, percaya anak buahnya mampu melakar kemenangan di gelanggang lawan nanti.

"Kami sedar bermula dengan buruk tapi perlawanan esok adalah episod baru dan kami akan berusaha dan cuba memenanginya,” katanya.

"Setiap perlawanan dengan Real seolah-olah seperti final, saya pertama kali datang ke sini 18 tahun lalu (sebagai pemain) dan saya faham sangat mengenai tekanannya,” kata jurulatih berusia 47 tahun itu.

Dalam pada itu, kapten Real, Sergio Ramos berkata pemain juga sudah bosan dengan spekulasi yang dikaitkan dengan kedudukan Zidane itu.

Jurulatih Perancis itu kembali ke kelab Mac lalu iaitu selepas 10 bulan berpisah mengambil alih tugas Julen Lopetegui dan Santiago Solari yang masing-masing dipecat.

"Kerja jadi mudah jika kelab katakan saja bahawa Zidane akan kekal sehingga hujung musim dan spekulasi itu akan berhenti.

“Kami semua sudah letih mendengar semua orang akan datang ke sini untuk menjadi jurulatih Real Madrid," kata Ramos.

"Kami hanya fokus untuk menang esok pagi. Semua orang ada cara masing-masing menilai kekuatan tapi kami tetap tenang, kami sedar jika bekerja kuat, maka kami akan menang.”

Real dalam pada itu terlepas peluang menyenaraikan gandingan mantap Gareth Bale dan Luka Modric tapi Toni Kroos menghadirkan berita baik dan disahkan mampu beraksi. – Reuters

Berita Harian X