Ahad, 13 Oktober 2019 | 11:13am
KAPTEN Argentina, Lionel Messi. - Foto AFP
KAPTEN Argentina, Lionel Messi. - Foto AFP

Messi kembali perkuat Argentina bulan depan

BUENOS AIRES: Kapten Argentina, Lionel Messi akan kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan bulan depan selepas menamatkam tempoh penggantungan, kata jurulatihnya, Lionel Scaloni pagi ini.

Messi digantung tiga bulan pada Ogos lalu susulan kritikannya ke atas Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) atas dakwaan badan bola sepak itu terbabit ‘rasuah’ ketika Kejohanan Copa America.

Messi mengkritik CONMEBOL selepas dia dibuang padang ketika berdepan Chile pada Julai dan Messi juga tidak tampil pada majlis penyampaian hadiah kerana enggan menjadi ‘sebahagian daripada individu yang bergelumbang dengan rasuah’ di Copa America.

Messi turut membidas pegawai perlawanan kejohanan itu selepas Argentina kalah di tangan tuan rumah Brazil di separuh akhir Copa America dengan mendakwa pengadil dan pegawai yang mengawal VAR memihak pasukan Brazil selepas tuan rumah itu menang 3-1 perlawanan itu.

Susulan penggantungan itu, kapten Argentina itu terlepas peluang menguji Chile, Mexico dan Jerman dalam perlawanan persahabatan dan sekali lagi tersisih untuk perlawanan menentang Ecuador pagi esok.

"Messi tidak berada di sini kerana penggantungan,” kata Scaloni.

"Sergio Aguero juga tiada di sini kerana ada masalah dan dia juga tidak dapat menjalani latihan 100 peratus dengan kelabnya.

"Tapi yang pasti kedua-dua mereka akan kembali semula bulan depan.”

Khamis lalu, Argentina bangkit dua kali untuk mengikat Jerman 2-2 dalam aksi persahatan di Dortmund, Jerman.

Untuk aksi persahabatan pagi esok, Scaloni sudah memilih kesebelasan utamanya untuk berdepan Ecuador dengan menampilkan Agustin Marchesin, Juan Foyth, German Pezzella, Walter Kannemann, Marcos Acuna, Nicolas Gonzalez, Rodrigo De Paul, Leandro Paredes, Lucas Ocampos, Lucas Alario dan Lautaro Martinez.

"Ideanya ialah kami mahu meletakkan ramai penyerang yang mampu bertindak di kotak penalti lawan,” kata Scaloni. – Agensi

Berita Harian X