Sabtu, 12 Oktober 2019 | 11:15am
PEMAIN Iceland, Gylfi Sigurdsson (kanan) mengasak pemain Perancis, Antoine Griezmann. - Foto AFP

Griezmann gesa Perancis sedia hadapi Turki

REYKJAVIK: Antoine Griezmann menggesa skuad Perancis segera bangkit dan memberi fokus sepenuhnya menjelang pertemuan penting menentang Turki dalam saingan peringkat kumpulan Kelayakan Euro 2020 di Paris, Isnin ini.

Sayap Barcelona itu meraih penalti yang disempurnakan Olivier Giroud sekali gus membawa pulang tiga mata sambil menghadiahkan tuan rumah kekalahan pertama di laman sendiri dalam tempoh setahun.

Jun lalu, juara dunia itu kalah 0-2 di tangan Turki ketika bertembung di Konya sekali gus mencetus keributan dan kritikan hebat ke atas persiapan mereka di kejohanan itu.

Perancis boleh mengesahkan kemaraan ke Euro 2020 jika mengatasi Turki di Stade de France nanti.

Griezmann berkata: “Kami ada perlawanan penting di laman sendiri. Kami pernah derita di sana (Turki), jadi kami kena betul-betul bersedia untuk perlawanan itu.”

Dia dijatuhkan untuk mendapat penalti selepas rujukan VAR mendapati dia jelas dikasari dan Perancis terselamat dengan tiga mata selepas berdepan Iceland yang nyata lebih garang mengancam kubu mereka.

"Ini perlawanan yang sangat sukar,” kata Griezmann. "Kami perlukan tiga mata itu dan sekarang ada tugasan penting menunggu kami di Paris.”

Turki di tangga teratas Kumpulan H berkongsi 18 mata bersama Perancis di tangga kedua Kumpulan H, tetapi enam mata di depan Iceland yang menduduki tangga ketiga yang bermakna kedua-dua pasukan teratas itu kian hampir melayakkan diri ke pusingan akhir tahun depan.

Pengurus Perancis, Didier Deschamps puas hati dengan persembahan anak buahnya pagi tadi selepas merakam kejayaan membenam Iceland 4-0 Mac lalu.

"Pertamanya kami menang di sini, ia bukan kerja mudah. Kami ada peluang untuk gol kedua. Mereka sangat bagus dalam set-piece.

Ditanya mengenai kecederaan pemain midfield, N'Golo Kante yang tidak dapat diturunkan dan digantikan dengan Moussa Sissoko, Deschamps berkata: "Pada saya, kecederaan ‘NG’ itu tidak berapa serius.” - Agensi

Berita Harian X