Sabtu, 12 Oktober 2019 | 9:51am
PENYERANG Perancis, Olivier Giroud meraikan jaringan penaltinya bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang Iceland. - Foto REUTERS

Perancis lega, Turki kembali ke puncak

REYKJAVIK: Kekurangan aksi di peringkat kelab tidak menghalang Olivier Giroud memperaga ketajamannya selepas menyempurnakan penalti untuk membantu Perancis menang 1-0 ke atas Iceland dalam aksi Kelayakan Euro 2020 pagi tadi sekali gus mencerahkan peluang Les Bleus mara ke pusingan akhir tahun depan.

Giroud, yang setakat ini hanya beraksi selama 101 minit dalam aksi Liga Perdana Inggeris, menyempurnakan sepakan penalti babak kedua untuk membantu Perancis menduduki tangga kedua Kumpulan H di belakang Turki yang menang 1-0 ke atas Albania hasil jaringan minit akhir Cenk Tosun.

Perancis dan Turki yang akan bertemu di Stade de France Isnin ini, berkongsi 18 mata namun juara dunia itu tercicir ke tangga kedua selepas kalah 0-2 di Konya Jun lalu.

Iceland di tangga ketiga dengan 12 mata manakala Albania (9), Andorra kedua tercorot denan tiga mata selepas menewaskan Moldova 1-0, pagi tadi.

"Ini perlawanan yang sengit dan kami melepasinya hasil gol Olivier," kata Antoine Griezmann.

"Kami mendapat beberapa peluang untuk menambah gol dan ia sangat menarik hasil set piece," kata jurulatih Didier Deschamps.

"Tapi ini keputusan yang bagus sebagai persiapan perlawanan Isnin nanti.”

Perancis beraksi tanpa kelibat Kylian Mbappe, Paul Pogba dan Hugo Lloris yang masih cedera dan menerima berita buruk apabila Ngolo Kante pula mengalami kecederaan ketika latihan menjadikan pasukan itu bergantung kepada Moussa Sissoko.

Pada babak pertama, kedua-dua pasukan bergelut mendapatkan gol apabila Les Bleus gagal mengumpan bola kepada Griezmann, yang berada dalam situasi terbaik meledak gawang  tiga minit sebelum rehat.

Nasib Perancis berubah apabila Griezmann dijatuhkan Ari Skulason, yang menyaksikan Giroud tenang menyepak masuk penalti menewaskan Hannes Halldorsson pada minit ke-66.

Jaringan itu membolehkan Giroud mengumpul 37 jaringan antarabangsa dan kurang empat gol untuk menyamai jaringan Michel Platini (41).

Setakat ini Thierry Henry menjadi penjaring terbanyak Perancis dengan 51 jaringan.  – Reuters

Berita Harian X