Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:28am
Pemain Jerman, Serge Gnabry (kiri) merembat bola mengatasi pemain Argentina, Nicolas Tagliafico pada perlawanan persahabatan, semalam. - Foto EPA

Loew puji prestasi Gnabry

DORTMUND: Joachim Loew menyifatkan Serge Gnabry sebagai ‘amat merbahaya’ ketika Jerman mencatat keputusan seri 2-2 menentang Argentina dalam aksi persahabatan, awal pagi tadi.

Penyerang Bayern Munich, Gnabry membuka tirai jaringan buat Jerman seawal minit ke-15 sekali gus menjadi gol keenamnya bersama skuad kebangsaan dalam empat perlawanan terakhir.

Kai Havertz meletakkan tuan rumah 2-0 sebelum rehat tetapi Argentina memanfaatkan persembahan longlai jentera pertahanan Jerman untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi gol Lucas Alario dan Lucas Ocampos.

Jerman dijadual bertemu Estonia bagi aksi kelayakan Euro 2020, Ahad ini dengan Loew membuat keputusan mengejut mengeluarkan Gnabry pada minit ke-72 bagi memberi laluan kepada Suat Serdar.

“Kami tidak mahu Serge Gnabry bermain selama 90 minit,” kata Loew. “Dia sudah mengharungi banyak perlawanan baru-baru ini. Dia berlari amat pantas dan berada di seluruh padang.

“Serge berada di mana-mana saja, dia sentiasa merbahaya dan membuatkan pertahanan Argentina kelam kabut pada babak pertama. Kerana itulah ia menjadi petanda jelas yang kami perlu mengeluarkannya selepas minit ke-70.

“Kami benar-benar memerlukannya pada perlawanan berikutnya, dan ia satu risiko yang besar buat saya jika dia mendapat kecederaan di sini,” kata Loew yang turut memuji prestasi Joshua Kimmich sebagai kapten pasukan. - Agensi

 

 

Berita Harian X