Khamis, 10 Oktober 2019 | 10:43am
Penyerang Jerman dan Bayern Munich, Thomas Mueller. - Foto AFP

Mueller kecewa dengan Bayern

MUNICH: Thomas Mueller mengakui tidak gembira mengisi bangku simpanan Bayern Munich sekali gus meningkatkan spekulasi dia ingin meninggalkan kelab itu pada jendela perpindahan Januari.

Mueller, yang memasuki usia 30 tahun, bulan lalu tidak disenarai dalam kesebelasan utama Bayern untuk lima perlawanan terakhir yang menyebabkannya memberitahu majalah Kicker, “Ia sesuatu yang tidak menggembirakan saya.”

“Usia saya baru memasuki 30, fizikal saya hebat dan saya dahagakan kejayaan, kedua-dua untuk kelab dan juga secara peribadi,” kata Mueller. “Saya cukup yakin dengan kualiti saya. Saya boleh terus menyumbang kepada pasukan.

“Jika staf kejurulatihan hanya melihat saya sebagai pemain gantian di masa depan, saya perlu memikirkannya semula.”

Jurulatih Bayern, Niko Kovac lebih gemar menyenaraikan Philippe Coutinho sebagai gandingan untuk Robert Lewandowski sekali gus mengehadkan peluang Mueller yang juga penyerang Jerman musim ini.

Mueller hanya bermain selama 30 minit ketika kekalahan mengejut 2-1 Bayern kepada Hoffenheim di gelanggang sendiri, Sabtu lalu sekali gus melepaskan kedudukan di puncak Bundesliga.

Menurut akhbar utama Jerman, Bild, Mueller yang sudah meledak 186 gol dalam hampir 500 perlawanan untuk Bayern menimbang untuk meninggalkan kelab yang disertainya sejak tahun 2000 itu.

Terkenal dengan insiden yang menyaksikan Diego Maradona berfikir dia adalah budak pengutip bola ketika penampilan sulungnya untuk Jerman pada 2010, Mueller dilaporkan menjadi sasaran Manchester United dengan bidaan AS$109 dolar (RM457.09 juta) pada 2015. - AFP

Berita Harian X