Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:39am
Lionel Messi hampir tinggalkan Sepanyol.

Messi nyaris tinggalkan Sepanyol angkara siasatan cukai

MADRID: Lionel Messi semalam mengakui dia pernah terfikir untuk meninggalkan Barcelona sekali gus keluar dari Sepanyol selepas tidak tahan dilayan teruk ketika siasatan mengelak cukai di negara itu.

Pada 2016, bintang Argentina itu bersama bapanya didapati bersalah atas tuduhan mengelak cukai oleh mahkamah Catalonia dan dihukum 21 bulan penjara meskipun setahun kemudian, hukuman itu dipinda dalam bentuk denda.

Messi meluahkan perasaannya ‘dilayan teruk’ sepanjang tempoh penyiasatan dan ketika tempoh itu dia ada terfikir untuk meninggalkan Barcelona sekali gus dapat keluar dari Sepanyol namun dia terfikir langkah itu bakal menyebabkan pasukan lain berlumba-lumba memancingnya.

"Pada tahun 2012, 2013 dan 2014, saya berdepan saat sukar," kata Messi kepada RAC1.

"Ya, ia isu berkaitan dengan Hacienda (Agensi percukaian Sepanyol). Ia saat sukar bagi saya dan keluarga kerana orang ramai tidak tahu kisah sebenar. Mereka hanya mendengar khabar angin dan kemudian memberikan pendapat. Sebahagian laporan media juga melakukan perkara serupa.

"Saya rasa, saya adalah orang pertama yang disiasat oleh Hacienda dan ia benar-benar menyulitkan hidup saya. Anak saya masih kecil ketika itu.

"Pada masa itu, saya fikir mahu tinggalkan saja negara ini. Bukan kerana mahu meninggalkan Barca, tapi meninggalkan Sepanyol kerana saya dilayan dengan teruk. Banyak pasukan membuka pintu mereka namun tiada tawaran rasmi dlkemukakan kerana semua tahu kemahuan sebenar saya adalah bermain untuk Barca.”

Tanda tanya mengenai masa depan Messi kembali muncul September lalu apabila dia memberitahu media bahawa meskipun dia enggan meninggalkan Camp Nou, tetapi dia tak sabar bersama ‘pasukan yang menang’.

Ia merujuk kepada kekecewaannya berhubung kegagalan Barca dalam kempen Liga Juara-Juara yang menyaksikan Barca kali terakhir menjulang piala berkenaan pada 2015 tetapi berdepan nasib malang dua musim lalu apabila tersingkir di tangan AS Roma dan Liverpool.

Bagaimanapun, Messi segera meredakan keadaan dengan kenyataan bahawa dia mahu menamatkan kariernya di Barcelona dan mungkin mengorbankan niatnya beraksi untuk kelab pujaannya ketika zaman kanak-kanak, Newell Old Boys di Argentina sebelum bersara semata-mata tidak mahu melihat keluarganya sedih.

"Kami di sini sentiasa mahu menang gelaran. Beberapa tahun lalu, kami amat rapat terutama dua tahun lepas, ia adalah kesilapan kami sendiri apabila tersingkir. Ia bukan berpunca daripada jurulatih. Kami sebenarnya memiliki skuad hebat untuk memenangi apa saja piala.

"Jika mereka kekal mahukan khidmat saya, saya tidak akan pindah. Saya memang mahu kekal di sini. Saya dan keluarga dah sepakat mahu tamatkan karier di sini.”

Messi dalam pada itu berharap rakan pasukannya, Xavi kembali ke Barca sebagai jurulatih meskipun selepas dia bersara.

Xavi ketika ini menjadi jurulatih kelab Al Sadd, di Qatar. - Agensi 

Berita Harian X