Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:08am
Neymar (kanan) bersama bekas pemain Brazil, Bebeto mempamer jersey peringatan menandakan penampilan ke-100 pasukan kebangsaan semasa sidang akhbar di Singapura. - Foto EPA

Neymar kini gembira

SINGAPURA: Neymar yang akan mengharungi perlawanan ke-100 bersama Brazil mengakui komitmennya ketika ini tertumpu kepada skuad kebangsaan dan kelab, Paris-Saint Germain (PSG).

Brazil dijadual bertemu Senegal dalam perlawanan persahabatan di sini, hari ini dengan Persekutuan Bolasepak Brazil akan memperkenalkan Neymar dengan jersi istimewa bersama nombor 100 berbanding 10 yang digunakan ketika ini.

“Saya gembira bersama skuad kebangsaan dan kelab saya,” kata Neymar yang sebelum ini cuba meninggalkan PSG untuk menyertai semula Barcelona.

“Semua orang tahu apa yang berlaku ketika jendela perpindahan, ia adalah hasrat awal saya, tetapi kini saya gembira dan merasa selesa dengan kelab saya.

“Musim ini bermula dengan baik untuk saya. Saya akan mempertahankan kelab saya sepenuhnya. Saya akan memberikan 100 peratus jadi kami akan berpeluang melakukan perkara yang hebat,” kata pemain berusia 27 tahun itu yang sering bergelut dengan masalah kecederaan kaki ketika di Paris.

Jersi berkenaan diserahkan kepada Neymar oleh penyerang legenda Brazil, Bebeto yang pernah menjulang negaranya memenangi Piala Dunia pada 1994.

“Saya gembira dapat mencapai nombor ini,” kata Neymar. “Keputusan amat positif, sekali pun dalam kehidupan bola sepak ia tidak semestinya sentiasa menang. Ada juga kekecewaan, kekalahan. Kamu melakukan kesilapan.”

Neymar menjaringkan 61 gol dalam 99 penampilan buat Selecao yang menjadikannya pemain ketiga paling banyak menjaringkan gol buat Brazil dalam sejarah dan ketinggalan satu gol di belakang Ronaldo. - AFP

Berita Harian X