Khamis, 10 Oktober 2019 | 8:09am
Pemain Wales, Aaron Ramsey (kanan) pada sesi latihan. - Foto Reuters

Wales layan Slovakia tanpa Ramsey

LONDON: Pemain tengah Juventus, Aaron Ramsey akan terlepas aksi kelayakan Euro 2020 bersama Wales menentang Slovakia, minggu ini susulan masalah otot, umum Persatuan Bolasepak Wales (FAW), semalam.

Ramsey mengalami masalah pangkal paha ketika sesi pemanas badan yang menyaksikan Juve menang 2-1 bertemu Inter Milan, minggu lalu.

Pengendali Juventus, Maurizio Sari berkata Ramsey yang tidak disenaraikan ketika menentang Inter merasai kesakitan ketika sesi latihan pemain gantian.

Dia berlatih bersama keseluruhan skuad kebangsaan Wales, Selasa dan semalam tetapi pasukan itu tidak akan mengambil risiko dengan menurunkannya ketika menentang Slovakia.

"Aaron Ramsey tidak akan disenaraikan di Cardiff dalam usaha mengembalikan semula kecergasannya ketika menentang Croatia pada Ahad,” kata FAW dalam Twitter.

Bekas pemain Arsenal itu tidak menyarung jersi kebangsaan untuk tempoh hampir setahun dengan penampilan terakhirnya adalah ketika Wales menentang Albania pada November 2018.

Wales ketika ini menghuni tangga keempat Kumpulan E dan skuad kendalian Ryan Giggs itu tampak bergelut untuk layak ke pusingan akhir.

Selepas empat perlawanan, Wales mencatat dua kemenangan dan dua kekalahan serta ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Croatia selain tiga mata di belakang pasukan tangga kedua dan ketiga, Slovakia dan Hungary. - AFP

 

 

Berita Harian X