Khamis, 10 Oktober 2019 | 7:46am
Gambar fail penyokong dari kalangan wanita Iran sewaktu pasukan kelab Iran, Perspolis FC bertemu Kashima Antlrs pada perlawanan Liga Juara AFC di Stadium Azadi, Tehran pada tahun lalu. - Foto EPA

Wanita Iran dibenar tonton bola sepak di stadium

TEHRAN: Wanita Iran buat pertama kali akan dibenarkan menonton perlawanan bola sepak lelaki di stadium negara itu selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengancam untuk menggantung keahlian jika negara itu berterusan mengamalkan polisi hanya lelaki dibenar menonton perlawanan sukan popular berkenaan.

Negara Republik Islam itu mengharamkan wanita menonton perlawanan bola sepak lelaki di stadium dan juga perlawanan sukan lain hampir 40 tahun hasil fatwa ulama negara berkenaan yang mahu melindungi kehormatan kaum Hawa daripada melihat pemain lelaki yang berpakaian tidak menutup aurat.

Bulan lalu, FIFA mengarahkan Iran menarik semula pengharaman itu dan membenarkan penyokong wanita memasuki stadium tanpa sekatan mengikut jumlah tiket yang dibenarkan.

Arahan itu timbul selepas kematian ‘Gadis Biru’ selepas mangsa itu membakar dirinya bagi mengelak menjalani hukuman penjara selepas dia didapati bersalah mengenakan pakaian lelaki ketika menyamar untuk menonton satu perlawanan bola sepak.

Susulan kebenaran itu, penyokong wanita Iran bergegas membeli tiket untuk menonton aksi perlawanan Iran dalam Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Kemboja yang bakal berlangsung di Stadium Azadi yang berkapasiti 100,000 malam ini.

Media Iran melaporkan, jualan tiket blok awal habis terjual dalam masa sejam dan terpaksa ditambah.

Seorang daripada 3,500 wanita yang berjaya mendapatkan tiket berkenaan adalah Raha Poorbakhsh, seorang wartawan.

"Saya masih tak percaya perkara ini akan berlaku kerana selama bekerja dalam bidang ini, saya hanya menonton perlawanan di kaca televisyen, sekarang saya boleh menontonnya di depan mata,” katanya.

Namun Poorbakhsh mengakui dia terkilan kerana ramai lagi penyokong wanita yang ghairah menonton perlawanan itu hampa susulan ketiadaan tiket.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peraturan ketat itu mula dilonggarkan sekali gus membenarkan wanita Iran membeli tiket sendiri mengikut kuota yang dibenarkan.

Kumpulan penyokong wanita berkenaan menggunakan hashtag #WakeUpFifa untuk mendesak tiket tambahan diberikan kepada penyokong berkenaan. – AFP

Berita Harian X