Rabu, 9 Oktober 2019 | 12:00am
Bastian Schweinsteiger mengumumkan persaraannya hari ini. - Foto fail AFP
Bastian Schweinsteiger bergambar bersama trofi yang pernah dimenanginya. - Foto fail AFP

Schweinsteiger umum persaraan

DORTMUND, Jerman: Bastian Schweinsteiger dijemput menyertai pasukan kejurulatihan pasukan Jerman, kata jurulatih Joachim Loew selepas pemain tengah veteran itu mengumumkan persaraannya hari ini.

“Masanya sudah tiba dan saya akan menamatkan karier aktif pada penghujung musim,” kata Schweinsteiger di laman Twitter.

“Mengucapkan selamat tinggal selaku pemain aktif membuatkan saya rasa sedikit nostalgia, tetapi saya juga tidak sabar melihat cabaran menarik yang menanti.”

Pemain berusia 35 tahun yang juga bekas pemain Bayern Munich dan Manchester United itu menggantung but ketika pasukannya Chicago Fire gagal ke play-offs MLS.

Sejurus selepas pengumuman di media sosial oleh Schweinsteiger, Loew berkata pemain tengah itu boleh menyertai staf kejurulatihannya.

“Kami sentiasa ada tempat buatnya,” kata Loew di Dortmund ketika skuad Jerman bersedia untuk menanti kunjungan Argentina dalam saingan persahabatan awal pagi Khamis ini. - AFP

Berita Harian X