Selasa, 8 Oktober 2019 | 7:28am
ARSENE Wenger (kanan) bersama Mauricio Pochettino.

Wenger pertahan Pochettino

LONDON: Mauricio Pochettino mengharungi saat paling getir sepanjang lima tahun mengendali Tottenham Hotspur – sama seperti bekas pengendali Arsenal Arsene Wenger ketika musim terakhirnya di Emirates.

Musim terakhir Wenger sepanjang 22 tahun di Arsenal dibayangi kekecewaan penyokong selepas kegagalan pasukan menjadi pencabar utama kejuaraan dan perkara sama menyelubungi peminat Spurs ketika ini yang masih belum melihat kilauan trofi di bawah kendalian Pochettino.

Bagaimanapun Pochettino berjaya meletakkan Tottenham dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dan mengatasi Arsenal, namun ia terhenti setakat itu.

Kekalahan 3-0 di Brighton & Hove Albion Sabtu lalu meletakkan mereka jauh ketinggalan di belakang kelompok teratas liga, dan sebelum itu tewas 7-2 di tangan Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara serta tersingkir daripada Piala Liga susulan kekalahan kepada kelab divisyen empat Colchester United.

Tottenham berada dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara untuk musim keempat berturut-turut tetapi Pochettino kini dikatakan semakin tertekan untuk meningkatkan prestasi pasukannya.

“Saya rasa dia (Pochettino) melakukannya dengan baik sekali, seperti yang anda semua lihat,” kata Wenger.

“Apabila dia datang ke Tottenham dia membina pasukan ini secara perlahan dengan generasi pemain-pemain muda. Setiap tahun peminat mahukan sesuatu yang lebih daripada anda. Saya mengalaminya di Arsenal.

“Selama 20 tahun berturut-turut kami berada dalam kelompok empat teratas tetapi di akhirnya ia masih belum mencukupi.

“Selepas empat atau lima tahun, tidak kira betapa bagus tugas yang anda lakukan, anda perlu buktikan yang anda mampu memberikan lebih lagi. Dia di peringkat itu sekarang.”

Tottenham kini di tangga kesembilan liga dan belum menang dalam 10 perlawanan terakhir di tempat lawan. Walaupun mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu, prestasi domestik mereka merudum apabila tewas 13 perlawanan Liga Perdana musim lalu. – REUTERS

 

Berita Harian X