Isnin, 7 Oktober 2019 | 10:11pm
Mohamed Salah (tengah) dilaporkan mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika kemenangan Liverpool mengatasi Leicester. - Foto EPA

Salah boleh kembali berdepan Manchester United

LONDON: Mohamed Salah dilaporkan mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika kemenangan Liverpool mengatasi Leicester namun pemain Mesir itu boleh kembali untuk pertembungan Liga Perdana di Manchester United pada 20 Oktober.

Salah kesakitan pada tambahan masa ketika menang 2-1 mengatasi Foxes Sabtu lalu selepas terkena terjahan di pergelangan kaki kiri oleh Hamza Choudhury.

Pemain bawah 21 tahun England itu dilayangkan kad kuning tetapi bos Liverpool, Jurgen Klopp percaya pemain itu sepatutnya diberikan kad merah kerana cabaran dilabelkan “sangat bahaya.”

Salah sudah disisihkan daripada perlawanan persahabatan antara Mesir dan Botswana pada 14 Oktober dengan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Hossam El Badry berkata pemain bintang itu “mesti berehat.”

Liverpool Echo melaporkan: “Salah mengalami kecederaan pergelangan kaki dan ketika tiada masa ditetapkan untuknya kembali, Liverpool berharap ia bukanlah kecederaan jangka panjang.”

“Salah masih belum disisihkan untuk perlawanan itu, masih dalam proses awal untuk pemulihan dan untuk kakitangan perubatan untuk membuat sebarang keputusan.” - AFP

Berita Harian X