Isnin, 7 Oktober 2019 | 3:02pm
PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino. - Foto REUTERS

'Lagi perit hilang Firmino berbanding Salah, Mane'

LONDON: Liverpool akan berdepan masalah lebih besar jika kehilangan Roberto Firmino berbanding Mohamed Salah atau Sadio Mane, menurut pandangan bekas pemain Reds, Jason McAteer.

Salah tercedera ketika perlawanan menentang Leicester, Sabtu lalu susulan terjahan keras Hamza Choudhury yang menyaksikan penyerang bintang itu terpaksa diketepikan Mesir bagi aksi antarabangsa.

Mengekalkan kecergasan Salah jelas penting buat Liverpool bagi mencabar kejuaraan ketika juara Eropah itu memimpin carta Liga Perdana dengan kelebihan lapan mata tetapi McAteer berpendapat dia bukan komponen paling penting dalam jentera serangan Reds.

“Orang mempersoalkan kekuatan penuh Liverpool dan saya tidak fikir ia sekuat Manchester City tetapi mereka berjaya mengawalnya di beberapa posisi,” kata McAteer.

“Keluarkan salah seorang pemain bintang daripada pasukan ia dan pasti ia mencetus impak, ia berlaku kepada mana-mana kelab. Tetapi Jurgen masih boleh melakukan beberapa perkara memasukkan pemain berbeza dan melihat di mana mereka akan berada.

“Pemain yang saya fikir paling penting dalam perjalanan Liverpool ialah Roberto Firmino.  Lupakan Sadio Mane atau Mo Salah, ia adalah Firmino yang membuatkan segala-galanya bergerak ke depan. 

“Saya fikir jika Liverpool kehilangan Firmino akan mencetus impak lebih besar berbanding kehilangan Salah atau Mane.

“Lihat kepada Piala Super menentang Chelsea di mana Liverpool menghasilkan dua corak permainan yang berbeza, pertama tanpa Firmino dan kedua dengannya. Dia lebih penting dalam jentera serangan berbanding orang lain.”

Lawan Liverpool berikutnya dalam kempen Liga Perdana adalah Manchester United selepas rehat antarabangsa di Old Trafford. - Agensi

 

 

Berita Harian X