Isnin, 7 Oktober 2019 | 7:26am
OLE Gunnar Solskjaer.

Man United terus derita

LONDON: Manchester United berdepan ‘tugasan menggunung’ untuk menamatkan Liga Perdana musim ini di kedudukan enam terbaik, kata pengurus Ole Gunnar Solskjaer sejurus kekalahan 1-0 skuad kendaliannya di Newcastle United, awal pagi tadi.

Jaringan tunggal Matthew Longstaff pada babak kedua meningkatkan tekanan terhadap United yang akan mengharungi tempoh rehat aksi antarabangsa di kedudukan ke-12 liga dan ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Liverpool.

Skuad kendalian Solskjaer menguasai sebahagian besar permainan di Tyneside tetapi ketumpulan jentera serangan yang diketuai penyerang England, Marcus Rashford menyaksikan gawang Newcastle yang bolos lima kali ketika menentang Leicester City, minggu lalu terus kebal.


MATTHEW Longstaff

Sambil mengeluh dengan ketiadaan beberapa tonggaknya seperti Anthony Martial, Paul Pogba dan Jesse Lingard, Solskjaer menegaskan tiada proses pembaikan pantas bagi memulihkan semula prestasi longlai United ketika ini yang berlarutan sejak penghujung musim lalu.

“Ia akan mengambil sebanyak masa yang diperlukan,” kata Solskjaer ketika ditanya mengenai tempoh realistik untuknya mengembalikan prestasi kelab berkenaan.

“Saya tidak boleh memberikan kamu tempoh masa tetapi kami akan berada di sana. Kami memberikan diri kami tugasan yang amat, amat besar untuk berada di kedudukan empat terbaik, lupakan perkara itu, enam terbaik.

“Kami perlu berusaha bersama-sama dan mendapatkan semula keyakinan. Jika kamu hanya berjalan ketika hari cerah kami tidak akan tiba ke destinasi kami. Ia mengecewakan, tetapi kami tahu di mana kami perlu berada.”

Solskjaer berkata dia akan cuba ‘menilai’ kelapan-lapan perlawanan Liga Perdana musim ini yang menyaksikan United hanya mengutip sembilan mata sekali gus menjadi permulaan terburuk mereka dalam saingan liga sejak musim 1989-90 ketika rehat antarabangsa.

“Sudah tentu kami kecewa. Pemain bekerja keras. Tetapi kami tidak mencipta cukup peluang untuk memenangi perlawanan,” kata pengendali kelahiran Norway itu.

Penjaga gol, David de Gea dalam pada itu menyatakan ia adalah tempoh terburuk buat kelab itu sejak dia menyertai Red Devils pada 2011.- Reuters

 

 

Berita Harian X