Ahad, 6 Oktober 2019 | 7:53am
Sepakan penalti James Milner (kanan) menewaskan penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel untuk gol kemenangan Liverpool. - Foto EPA
Sepakan penalti James Milner (kanan) menewaskan penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel untuk gol kemenangan Liverpool. - Foto EPA

Penalti Milner terus lonjak Liverpool 

LONDON: Penalti minit terakhir James Milner mencetus kebangkitan besar-besaran di Anfield ketika dia membantu Liverpool menewaskan Leicester City 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam tadi untuk merakam kemenangan kelapan dan sekali gus melebarkan kelebihan lapan mata di depan pencabar terdekat, Manchester City yang akan beraksi malam ini.

Ia berbeza dengan nasib dialami Tottenham Hotspur, yang mereka tewaskan dalam final Liga Juara-Juara musim lalu dengan anak buah Mauricio Pochettino terus malang apabila kalah 0-3 di tangan Brighton & Hove Albion.

Aston Villa pula mengejutkan Norwich City 5-1, Burnley mengatasi Everton 1-0 manakala Crystal Palace menang 2-1 ke atas West Ham United.

Liverpool tampak bersemangat mendahalui lawannya apabila Sadio Mane memecah kebuntuan untuk jaringan ke-50 bersama Liverpool dengan menyempurnakan umpanan dari Milner pada minit ke-40.

Namun Leicester kekal sebagai ancaman dan hampir mencuri satu mata apabila James Maddison menyamakan kedudukan 10 minit sebelum wisel penamat sebelum Mark Albrighton mengasari Mane untuk Milner meledak penalti di minit akhir perlawanan.

Pemain Leicester City, James Maddison meraikan gol penyamaan ketika menentang Liverpool, malam tadi. - Foto REUTERS
Pemain Leicester City, James Maddison meraikan gol penyamaan ketika menentang Liverpool, malam tadi. - Foto REUTERS

"Kami terpaksa berjuang ke hujung permainan dan mendapat mata penuh,” kata Milner, yang mengakui terus tenang dan fokus ketika menyempurnakan penalti ke-16 untuk Liverpool.

"Rakan-rakan berjaya melakukannya sekali lagi. Memang ada yang letih dan ia berbaloi memenanginya.

Perlawanan itu bagaimanapun dicemari insiden kekecohan membabitkan beberapa pemain kedua-dua pasukan.

Pegendali Liverpool, Jurgen Klopp memuji perjuangan anak buahnya dengan berkata: "Kami hormati kerja keras yang ditampilkan pemain, setakat ini ia amat bagus tapi kami ada 30 lagi perlawanan menunggu.

"Kami tidak kalut dengan situasi sekarang yang ramai memperkatakan kehebatan kami memenangi perlawanan.

"Kami masih berjuang dan tengoklah pemain yang beraksi tadi, mereka bermain seperti tidak penah memenangi perlawanan, saya suka melihat mereka begitu.

"Di stadium pula, suasana penyokong amat hebat, ketika 1-1, semuanya positif , ia amat membantu. Ia nyata satu prestasi yang amat baik ditunjukkan dalam keluarga Liverpool ini.

"Sekarang semua pemain akan berkunjung ke beberapa tempat di dunia (untuk perlawanan antarabangsa) dan harap mereka kembali cergas untuk berdepan Manchester United (Pada 20 Oktober ini)."

Klopp juga mengakui kejayaan Liverpool merakam kemenangan sederet itu hasil mengamalkan pendekatan memenangi perlawanan satu persatu tanpa bimbang mengenai kesudahan sesuatu perlawanan seperti dipamerkan malam tadi.

"Kami tidak beraksi untuk mengekalkan kemenangan saja, kami hanya bermain untuk menang setiap perlawanan. Kamu perlu hormati semua perkara,” katanya. - Agensi

Pengendali Liverpool, Juergen Klopp mengarahkan pemainnya, Mohamed Salah pada perlawanan menentang Leicester, malam tadi. - Foto REUTERS
Pengendali Liverpool, Juergen Klopp mengarahkan pemainnya, Mohamed Salah pada perlawanan menentang Leicester, malam tadi. - Foto REUTERS

Berita Harian X