X
Jumaat, 4 Oktober 2019 | 9:37pm

Tiada tekanan ke atas Harimau Malaya jumpa Sri Lanka

KUALA LUMPUR: Sekali pun kemenangan tetap jadi buruan, Tan Cheng Hoe tidak meletakkan sebarang tekanan buat skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam esok.

Apa jua keputusan nanti, perlawanan itu tetap jadi penilaian akhir buat pengendali skuad kebangsaan itu sebelum menghadapi Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, Khamis ini.

"Pemain cukup bermotivasi untuk menghadapi perlawanan esok (hari ini). Walaupu ada pemain yang cedera tetapi sebagai jurulatih saya perlu kekal optimis dan berharap pemain mampu beraksi baik.

"Perasaan bercampur baur, mahu keputusan dan juga dapatkan semula momentum seperti dilakukan dalam dua aksi terakhir.

"Dalam masa sama, mereka perlu berada dalam keadaan sedia untuk menghadapi aksi penting menentang Vietnam nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media praperlawanan hari ini.

Jika dinilai kepada dua rekod pertemuan terdahulu, skuad Harimau Malaya dijangka tidak berdepan masalah ketika berjaya memastikan kemenangan 6-0 pada 2012 dan 4-1 dalam pertemuan terakhir Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sebelum ini, Sri Lanka yang dikendalikan Nizam Packeerali jelas berada pada aksi terbaik.

"Sepanjang tiga empat hari berlatih, kita sudah mencuba pemain yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi yang penting adalah pemain bebas daripada kecederaan untuk aksi dengan Vietnam.

"Saya mahu pemain yang datang ke dalam pasukan boleh menabur bakti kepada pasukan yang kita banggakan ini," katanya.

KETUA jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe pada sidang media perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun
KETUA jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe pada sidang media perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Owee Ah Chun
Berita Harian X