Khamis, 3 Oktober 2019 | 9:32pm
PERANCANG tengah skuad kebangsaan, Nor Azam Azih. - Foto Aizuddin Saad
PERANCANG tengah skuad kebangsaan, Nor Azam Azih. - Foto Aizuddin Saad

Saya jangka tak sempat pulih - Azam

KUALA LUMPUR: Perancang tengah skuad kebangsaan, Nor Azam Azih menjangkakan dia tidak sempat pulih daripada kecederaan sebelum aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Vietnam Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, minggu depan.

Pemain berusia 24 tahun itu menjelaskan dia kini lebih banyak mengikuti sesi pemulihan bersama pasukan perubatan bagi memastikan kecederaan buku lali yang dialami dapat pulih secepat mungkin.

"Saya rasa tak sempat sebab ada beberapa hari lagi sebelum perlawanan di Hanoi dan saya cuma fokus kepada pemulihan. Satu kerugian bagi saya, tapi selepas ini banyak lagi perlawanan dan karier saya pun masih panjang.

"Apabila berlari (buku lali) akan kembali bengkak dan ketika bersama Pahang pun saya banyak buat sesi pemulihan. Cuma mereka (pasukan perubatan) kata ia tak serius.

"Saya pernah mengalami kecederaan buku lali pada 2014 dan kali ini kena lagi, saya pun tak tahu nak kata apa," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Azam menjadi antara tonggak penting Harimau Malaya ketika ini selepas mempamerkan persembahan cemerlang bersama Brendan Gan di bahagian tengah.

Kelmarin, Cheng Hoe terpaksa memanggil pemain Sabah, Azizan Nordin sebagai persediaan awal sekiranya Azam tidak sempat pulih untuk berdepan Vietnam.

Selain itu, Azam percaya Azizan memiliki pengalaman yang luas dan mampu menyumbang sesuatu kepada skuad Harimau Malaya.

"Pemain yang baru dipanggil menambahkan lagi kekuatan pasukan kerana mereka bukan kali pertama menyertai skuad kebangsaan. Aidil Zafuan Abd Radzak, Azizan dan Khairulazhan Khalid adalah pemain senior dan berpengalaman," katanya.

Berita Harian X