Khamis, 3 Oktober 2019 | 1:28pm
Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - AFP
Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - AFP

Jadi lelaki sebenar - Pochettino

LONDON: Mauricio Pochettino berkata pemain-pemain Tottenham perlu bersatu dan mencabar sesama sendiri untuk “menjadi lelaki” dalam usaha melakukan kebangkitan daripada kekalahan Liga Juara-Juara 7-2 kepada Bayern Munich.

Pengendali Spurs itu akan melakukan inkues susulan kekalahan peringkat Kumpulan B di tangan juara Bundesliga itu di Stadium Tottenham Hotspur Selasa lalu.

Bayern mengejutkan tuan rumah dengan lima gol di babak kedua, empat daripadanya dijaringkan oleh bekas pemain sayap Arsenal Serge Gnabry.

Kekalahan itu adalah yang terbesar buat Spurs di bawah kendalian Pochettino dan pertama kali mereka dibolosi tujuh gol di laman sendiri.

“Situasi seperti ini terjadi dan anda perlu menunjukkan kualiti sebagai seorang lelaki terlebih dulu - menanganinya secara profesional seperti seorang lelaki,” kata Pochettino.

“Kami perlu meneruskan perjuangan kerana saya rasa ia lebih ke arah psikologi sekarang.”

Pochettino, yang membimbing Spurs ke final Liga Juara-Juara di Madrid musim lalu, turut mengulangi gesaannya kepada kelab untuk meletakkan objektif baharu.

“Saya sudah katakan beberapa bulan lalu yang ia akan menjadi musim yang sukar.

“Bagi saya, selepas final Liga Juara-Juara babak itu sudah berakhir dan sekarang kelab dalam keadaan yang memerlukan babak baharu dan memulakan projek, jangka sederhana dan panjang,” katanya. - AGENSI

Berita Harian X