Rabu, 2 Oktober 2019 | 8:52pm
PEMAIN Tottenham, Jan Vertonghen kelihatan malu selepas pasukannya tewas 2-7 kepada Bayern Munich. - Foto REUTERS
PEMAIN Tottenham, Jan Vertonghen kelihatan malu selepas pasukannya tewas 2-7 kepada Bayern Munich. - Foto REUTERS

Vertonghen 'malu' Spurs dibelasah teruk

LONDON: Jan Vertonghen berkata pemain Tottenham rasa “malu” selepas dibelasah 7-2 dalam Liga Juara-Juara oleh Bayern Munich.

Spurs dibelasah teruk oleh juara Jerman itu di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi tadi dengan bekas pemain sayap Arsenal, Serge Gnabry meledak empat gol.

Robert Lewandowski menjaringkan dua gol dan Joshua Kimmich juga menemui gawang ketika Spurs melepaskan tujuh gol di laman sendiri buat pertama kali dalam sebarang kejohanan utama.

“Ia malam yang menyakitkan buat kami,” kata pertahanan Belgium itu. “Mereka menghukum kami dengan setiap kesilapan kami lakukan dan kami mengecewakan penyokong dan semua orang di kelab dengan keputusan ini.

“Teruk. Semua orang malu dengan keputusan ini. Tak banyak yang saya boleh katakan mengenainya.”

Spurs melalui permulaan berliku pada permulaan musim, menang hanya tiga daripada semua 10 perlawanan pelbagai kejohanan, namun rakan Vertonghen di pertahanan, Toby Alderweireld meminta pasukannya supaya menjadi “lelaki” untuk membalas kekalahan itu.

“Ia terpulang kepada kami untuk mengubahnya secepat mungkin,” katanya. - AFP

Berita Harian X