Selasa, 1 Oktober 2019 | 10:35pm
JURGEN Klopp

Salzburg tak akan kejutkan Liverpool - Klopp

LIVERPOOL: Jurgen Klopp berkata hari ini bahawa dia berazam bahawa Salzburg tidak akan melakukan kejutan terhadap Liverpool ketika juara Austria itu bersedia untuk pertembungan penting Liga Juara-Juara di Anfield.

Salzburg kini teratas Kumpulan E selepas membelasah Genk 6-2 dalam saingan pembukaan Liga Juara-Juara dua minggu lalu manakala Reds di bawah tekanan untuk bangkit dengan kemenangan selepas kalah 2-0 di Napoli.

Pemain remaja sensasi, Erling Braut Haaland menjaringkan hatrik buat Genk dan Liverpool sudah menyedari pembangunan pemain muda Salzburg dengan pasangan Reds, Sadio Mane dan Naby Keita kedua-duanya pernah bersama Salzburg pada awal karier mereka.

“Kami perlu mula menang dan sepatutnya tidak membuang masa. Ia memang sukar dan mereka akan mengejutkan ramai orang, malam esok dan di masa depan,” kata Klopp.

“Cara Salzburg bermain mengejutkan pasukan besar. Tetapi jika ada sesiapa dalam dunia yang paling tahu mengenai cara mereka bermain, bagaimana mereka melakukannya, apa mereka lakukan, ia mungkin saya.

“Saya mengikuti cara mereka untuk tempoh yang lama. Saya ada idea yang sama ketika saya bermula sebagai pengurus.”

Liverpool akan menggunakan kubu kuat mereka untuk mencipta kejayaan dengan skuad Klopp tidak kalah di Anfield dalam Liga Perdana atau Liga Juara-Juara sejak April 2017. - AFP

Berita Harian X